Images
  • sg covid
    Orang ramai memakai pelitup semasa penularan COVID-19 di Singapura. (Gambar: Edgar Su/REUTERS)

S'pura lapor 448 kes baru COVID-19, 1 kematian

SINGAPURA: Jumlah kes COVID-19 di Singapura mencecah hampir 30,000 pada Khamis (21 Mei), dengan 448 kes baru dilaporkan setakat tengah hari tadi.

Ini menjadikan jumlah kes keseluruhan di negara ini 29,812.

Seorang lelaki rakyat Singapura berusia 73 tahun - Kes 4689 - meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan oleh COVID-19 pada Khamis (21 Mei). Beliau merupakan pesakit ke-23 yang meninggal dunia akibat virus korona itu di Singapura.

Beliau diuji positif COVID-19 pada 17 Apr dan mempunyai sejarah tekanan darah dan kolesterol , tinggi serta hipotiroidisme, iaitu penyakit akibat kekurangan hormon tiroid.

"Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit sudah menghubungi keluarga mendiang dan menghulurkan bantuan kepada mereka," menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Sebanyak 14 kes baru jangkitan dalam masyarakat dilaporkan, termasuk 13 rakyat atau penduduk tetap Singapura. Seorang lagi adalah pemegang permit pekerja.

"Daripada jumlah tersebut, tujuh kes dikenal pasti melalui pengesanan aktif dan pemeriksaan penghuni rumah rawatan warga emas dan kakitangan prasekolah.

Empat lagi adalah sebahagian daripada kelompok yang terkait dengan sebuah dormitori.

"Siasatan epidemiologi sedang dijalankan untuk lagi dua kes tersebut," menurut MOH.

Empat daripada kes baru yang disahkan terkait dengan kelompok baru di Rumah Rawatan Orange Valley di 6 Simei Street 3, di mana kesemuanya adalah penghuni rumah tersebut.

Menurut MOH, daripada 448 kes baru hari ini, 434 adalah pekerja asing yang tinggal di dormitori.

"Kami akan terus mengesan lebih banyak kes dalam kalangan pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori, termasuk dormitori yang diubah suai dari kilang disebabkan oleh ujian menyeluruh yang dilakukan di premis-premis tersebut, sebagai sebahagian daripada proses kami untuk mengenal pasti dan menguji status kesemua pekerja."

Lagi 910 pesakit COVID-19 dibenarkan pulang daripada hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Secara keseluruhannya, 12,117 pesakit sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan pulang daripada hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Pada Rabu (20 Mei), MOH menyatakan kes-kes COVID-19 dalam kalangan pemegang permit kerja yang tinggal di luar dormitori ditambah pada kiraan harian kes-kes jangkitan dalam masyarakat. Kes-kes itu sebelum ini disenaraikan dalam kategori berasingan.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/HA/ha

Top