Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lapor 4 kes baru COVID-19; terendah dalam hampir 4 bulan

Singapura melaporkan empat kes baru COVID-19 setakat 12.00 tengah hari Rabu (9 Jun) iaitu yang terendah dalam hampir empat bulan. 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lapor 4 kes baru COVID-19; terendah dalam hampir 4 bulan

(Gambar fail: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 09 Jun 2021 11:13PM Dikemas Kini : 09 Jun 2021 11:15PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan empat kes baru COVID-19 setakat 12.00 tengah hari Rabu (9 Jun) iaitu yang terendah dalam hampir empat bulan.

Dua kes dalam masyarakat dilaporkan termasuk satu yang tiada kaitan dengan mana-mana kes sebelum ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Satu-satunya kes tanpa hubung kait dalam masyarakat adalah seorang warga Myanmar berusia 29 tahun yang bertugas sebagai pekerja pembaikan di Grandwork Interior.

Lelaki itu demam pada 1 Jun dan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah Klinik Doktor Swasta (GP) pada hari yang sama. Beliau kemudian sakit badan pada 4 Jun dan kembali ke klinik yang sama.

Lelaki itu tidak diuji bagi COVID-19 semasa kedua-dua lawatan ke klinik itu.

Beliau dikesan positif apabila diuji pada 5 Jun sebagai sebahagian daripada ujian rutin berjadual, menurut MOH. Hasil ujian beliau yang dikumpulkan kembali positif COVID-19 pada 7 Jun. Satu ujian perseorangan dijalankan dan hasilnya positif pada hari yang sama.

Ujian-ujian awal lelaki itu daripada ujian rutin berjadual, kali terakhir dilakukan pada 8 Mei, semuanya negatif COVID-19.

Hasil ujian serologi beliau masih belum diketahui.

MOH menyatakan lelaki itu sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 31 Mei.

PENOLONG DAPUR TERKAIT KELOMPOK NTUC FOODFARE

Satu lagi kes dalam masyarakat berhubung kait dengan satu kes sebelum ini dan sudahpun dikuarantin, menurut MOH.

Kes 64117 adalah seorang lelaki Malaysia berusia 21 tahun yang bekerja sebagai penolong dapur di Rice Garden di 308 Anchorvale Road. Beliau merupakan kontak di tempat kerja kepada satu kes yang dilaporkan sebelum ini dan sudahpun dikuarantin pada 29 Mei.

Lelaki itu diuji bagi COVID-19 pada 30 Mei dan hasil ujiannya negatif. Beliau kemudian mengalami demam serta batuk pada 7 Jun dan melaporkan simptomnya itu. Beliau diuji bagi COVID-19 pada 8 Jun dan hasil ujiannya kembali positif pada hari yang sama.

Hasil ujian serologi beliau masih ditunggu.

Terdapat juga dua kes import yang sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sejurus tiba di Singapura. Seorang daripadanya adalah rakyat Singapura yang kembali ke tanah air dari Iraq manakala seorang lagi adalah Penduduk Tetap (PR) yang pulang dari India.

Kedua-dua kes itu diuji ketika menjalani SHN.

Tiada jangkitan baru dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan.

Jumlah kes baru yang dilaporkan pada Rabu adalah yang terendah di Singapura sejak 23 Februari lalu apabila ia turut mencatatkan empat kes.

Lagi 38 kes dibenarkan keluar hospital pada Rabu, membawa jumlah pesakit yang sembuh sepenuhnya kepada 61,740.

Sebanyak 158 kes masih lagi berada di hospital termasuk satu dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

Sejumlah 291 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

Secara keseluruhannya, jumlah kes baru dalam masyarakat merosot kepada 71 kes minggu lalu daripada 126 kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat juga jatuh kepada 24 kes minggu lalu daripada 26 kes pada minggu sebelumnya.

Dalam kalangan 123 kes disahkan COVID-19 yang dilaporkan dari 3 Jun hingga 9 Jun, 72 daripadanya diuji positif bagi ujian serologi, 42 diuji negatif dan sembilan hasil ujian serologi masih dinantikan.

KEMAS KINI UJIAN BESAR-BESARAN DI PUNGGOL DAN HOUGANG

Pada petang Rabu, MOH mengeluarkan satu kemas kini berhubung ujian COVID-19 yang dijalankan ke atas para penduduk di beberapa blok perumahan di Punggol dan Hougang.

Sejauh ini, tiada penduduk atau pengunjung ke Blok 325A Sumang Walk diuji positif dalam ujian swab wajib itu.

Setakat 12.00 tengah hari tadi, 419 penduduk dan pengunjung ke blok di Punggol itu sudahpun diuji bagi COVID-19. Daripada bilangan itu, 394 diuji negatif manakala hasil ujian bagi 25 orang masih ditunggu.

Bagi ujian sukarela untuk pengunjung ke Blok 506 Hougang Avenue 8 serta penduduk dan pengunjung ke tujuh blok kejiranan, MOH menyatakan 4,236 orang sudahpun menjalani ujian swab.

Daripada jumlah itu, 4,140 diuji negatif dan hasil ujian bagi 96 individu masih dinantikan.

Tujuh blok kejiranan itu adalah 511, 681, 682, 683, 684, 685 dan 698.

Ujian bagi kawasan perumahan itu dimulakan setelah beberapa kes positif dikesan di sebilangan blok.

Setakat Rabu, Singapura melaporkan 62,223 kes COVID-19 dan 34 korban jiwa akibat jangkitan koronavirus itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan