Images
  • sg covid-19 (2)
    (Gambar: CNA)

S'pura lapor 2,809 kes baru COVID-19, lagi 9 kematian

SINGAPURA: Singapura melaporkan 2,809 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Ahad (10 Okt) dengan lagi sembilan kematian dicatat disebabkan komplikasi virus tersebut.

Kesemuanya rakyat Singapura terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 70 dengan 88 tahun.

Empat daripada mereka tidak divaksin manakala tiga sudah mendapatl satu dos vaksin dan lagi dua sudah lengkap divaksin. Kesemuanya mempunyai pelbagai penyakit lain.

Ini membawa jumlah keseluruhan mereka yang meninggal dunia di Singapura disebabkan koronavirus kepada 162.

Kes jangkitan baru merosot ke bawah paras 3,000 buat kali pertamanya dalam tempoh enam hari.

"Jumlah kes lebih rendah hari ini mungkin disebabkan oleh kurang ujian swab dijalankan pada hujung minggu di Klinik Persediaan Kesihatan Awam (PHPC) dan poliklinik, dan ia tidak menunjukkan bahawa lengkung epidemik ini semakin merata," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya pada pukul 11.15 malam.

Dalam kalangan kes hari ini, 2,807 merupakan jangkitan tempatan, yang mana 2,176 adalah kes dalam masyarakat dan 631 penghuni di dormitori pekerja hijrahan.

Sebanyak dua kes import turut dilaporkan.

Setakat Ahad, Singapura melaporkan 126,966 kes COVID-19 secara keseluruhan sejak permulaan pandemik.

KES DI HOSPITAL

Sebanyak 1,613 pesakit dimasukkan ke hospital dengan sebahagian besar berada dalam keadaan baik dan dipantau, menurut MOH.

Terdapat 292 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan 41 di unit jagaan rapi (ICU).

Sepanjang 28 hari yang lalu, terdapat 55,096 individu terkena jangkitan, 1.2 peratus yang memerlukan bantuan oksigen dan 0.1 peratus dirawat di ICU. Dalam kalangan mereka, 48.8 peratus sudah lengkap divaksin dan 51.2 peratus belum divaksin atau sudah mendapatkan satu dos suntikan vaksin. 

- CNA/HA/ha

Top