Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lanjutkan laluan VTL ke lagi 8 negara

Singapura akan melanjutkan skim laluan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL) kepada lagi lapan negara, membolehkan mereka yang lengkap divaksin untuk memasuki negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lanjutkan laluan VTL ke lagi 8 negara

Pintu masuk dewan pelepasan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 09 Oct 2021 03:13PM Dikemas Kini : 09 Oct 2021 03:15PM

SINGAPURA: Singapura akan melanjutkan skim laluan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL) kepada lagi lapan negara, membolehkan mereka yang lengkap divaksin untuk memasuki negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin.

Mulai 19 Oktober, para pelawat lengkap divaksin dari Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol, Britain dan Amerika Syarikat boleh memasuki Singapura di bawah aturan ini, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) hari ini (9 Okt).

Pelanjutan itu dilaksanakan "secara berhati-hati dan selangkah demi selangkah" untuk membantu "menuntut semula dan membangunkan semula" status Singapura sebagai hab penerbangan antarabangsa dengan ketersambungan global, menurut CAAS.

Pengumuman terkini itu dibuat setelah "meraih pengalaman dan keyakinan" daripada dua laluan VTL yang pertama bersama Brunei dan Jerman, yang dilancarkan pada bulan lalu, tambah CAAS.

Ia juga dibuat sehari selepas Singapura mengumumkan satu lagi laluan VTL bersama Korea Selatan.

CAAS menyatakan bahawa 179 pas perjalanan VTL diberikan kepada para pelawat dari Brunei dan 4,497 dari Jerman untuk perjalanan ke Singapura antara 8 September dengan 12 November tahun ini, dengan 1,926 individu memasuki kedua-dua negara ini melalui pas tersebut setakat Jumaat (8 Okt).

Terdapat hanya dua kes COVID-19 dalam kalangan pelawat sedemikian, yang mana kedua-duanya dikesan melalui ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) yang diambil semasa ketibaan di Lapangan Terbang Changi.

JUMLAH UJIAN PCR DIKURANGKAN

Mulai 19 Oktober, jumlah ujian PCR yang perlu dijalani akan dikurangkan daripada empat kepada dua bagi mereka yang memasuki Singapura di bawah laluan VTL.

Para pelawat itu perlu mengambil ujian PCR dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas ke Singapura dan satu lagi ujian sebaik tiba di Lapangan Terbang Changi, dan menjalani pengasingan kendiri sehingga mereka menerima keputusan ujian yang negatif.

Mereka tidak lagi perlu menjalani ujian PCR pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan.

"Penilaian kesihatan awam MOH adalah ujian sebelum pelepasan dan semasa ketibaan menyediakan perlindungan yang memadai untuk mengesan dan mengasingkan kes-kes import COVID-19," menurut CAAS.

Penyingkiran ujian PCR pada hari ketiga dan ketujuh akan bantu memastikan perjalanan di bawah laluan VTL boleh dimampui dan lebih mudah, tambah CAAS.

Bagi mereka yang melakukan perjalanan dari Brunei atau Jerman, perubahan ini tertakluk kepada mereka yang memasuki Singapura pada atau selepas 19 Oktober.

Para pelawat yang sudah membuat bayaran bagi ujian PCR COVID-19 pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan, namun hanya akan memasuki Singapura pada atau selepas 19 Oktober akan dipulangkan bayaran.

KEPERLUAN LAIN

Para pelawat harus kekal di salah satu daripada negara-negara di bawah laluan VTL - termasuk Singapura - selama 14 hari berturut-turut sebelum berlepas ke Singapura.

Mereka yang mengunjungi Singapura di bawah laluan VTL itu perlu lengkap divaksin dan dianggap sudah divaksin penuh dua minggu selepas mereka menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnary, Moderna atau vaksin-vaksin lain dalam Senarai Kegunaan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Para pelawat juga perlu menunjukkan sijil vaksinasi yang dikeluarkan oleh mana-mana negara laluan VTL atau Singapura, tidak kira dari negara mana mereka berlepas di bawah laluan VTL.

Mereka mesti melakukan perjalanan ke negara itu dengan menaiki penerbangan khusus dan melakukan persinggahan menerusi satu lagi laluan VTL untuk mengambil penerbangan khusus ke Singapura.

Para pelawat sedemikian yang melakukan persinggahan atau perjalanan ke Singapura boleh menaiki penerbangan khusus laluan VTL, tertakluk kepada keperluan tersebut.

Para pelawat jangka pendek dan pemegang pas jangka panjang perlu memohon bagi pas perjalanan penumpang yang divaksin untuk memasuki Singapura menerusi laluan VTL, namun rakyat Singapura dan penduduk tetap Singapura yang lengkap divaksin tidak perlu berbuat demikian.

Tiada sekatan dikenakan ke atas tujuan perjalanan dan tiada keperluan bagi jadual perjalanan yang dikawal atau tajaan di bawah aturan sedemikian, menurut CAAS.

Permohonan bagi pas VTL untuk mereka yang melakukan perjalanan dari lapan negara yang baru diumumkan itu akan bermula 12 Oktober pada pukul 10.00 pagi, bagi kemasukan ke Singapura mulai 19 Oktober.

Bagi Korea Selatan, permohonan bagi pas itu akan bermula 8 November pada pukul 10.00 pagi, bagi kemasukan ke Singapura mulai 15 November.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan