Images
  • teo chee hean
    Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean bertemu Leftenan-Jeneral Hun Manet, yang merupakan Timbalan Ketua Panglima Angkatan Bersenjata Diraja Kemboja dan Komander Angkatan Tentera (COA). (Gambar: MINDEF)

S'pura, Kemboja tegaskan semula hubungan lama sempena lawatan komander tentera

SINGAPURA: Singapura dan Kemboja mengesahkan hubungan lama dan komited untuk "mengukuhkan persefahaman bersama dan meneruskan kerjasama, dialog serta persahabatan". Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura menyatakan demikian pada Selasa (11 Jun) sempena lawatan panglima tentera Kemboja ke sini.

Leftenan-Jeneral Hun Manet, yang merupakan Timbalan Ketua Panglima Angkatan Bersenjata Diraja dan Komander Tentera (COA), membuat lawatan pengenalannya ke Singapura selaku COA dari Selasa hingga Khamis.

Pada awal Selasa, beliau bertemu dengan Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan.

Menurut MFA dalam kenyataannya: "Lt Jen Hun Manet dan para pemimpin Singapura menegaskan semula hubungan lama antara Singapura dengan Kemboja dan kerjasama luas dan substantif kami yang sudahpun memanfaatkan kedua-dua negara serta rantau ini."

"SM Teo dan Lt Jen Hun Manet menyambut baik pengukuhan hubungan pertahanan serta ekonomi kita. Mereka berbincang cara-cara untuk meningkatkan pertukaran pertahanan dan perubahan dalam perkhidmatan awam."

Dr Balakrishnan dan Lt Gen Manet mengalu-alukan rundingan dua hala MFA-ke-MFA Singapura-Kemboja yang akan berlangsung pada 19 Jun ini.


(Gambar: Dr Vivian Balakrishnan/Facebook)

MFA menambah: "Inisiatif ini akan menggalak persefahaman dan pertukaran pendapat antara kedua-dua MFA kami di peringkat kerja."
Menulis di laman Facebooknya, Dr Balakrishnan berkata kedua-dua negara adalah "rakan lama dan kerjasama kami yang luas sudahpun memanfaatkan kedua-dua pihak".

"Kami mengadakan perbincangan yang baik mengenai cabaran keselamatan yang timbul di rantau ini dan bersetuju bahawa adalah penting untuk bekerjasama baik secara dua hala mahupun menerusi Asean bagi menangani isu-isu ini," tulis Dr Balakrishnan.

COA akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan Menteri Pertahanan Ng Eng Hen pada Rabu sebelum berangkat pulang pada Khamis.

Minggu lalu, MFA sekali lagi menekankan bahawa Singapura "sangat menghargai" hubungannya dengan Kemboja dan Vietnam. Ia dibuat berikutan satu catatan Facebook baru-baru ini oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang menyentuh tentang pencerobohan Vietnam terhadap Kemboja pada tahun 1978 yang mencetuskan kemarahan kedua-dua negara Indochina itu.

Menjawab pertanyaan media, seorang jurucakap MFA berkata: "Meskipun terdapat perbezaan pada masa lalu, kami sentiasa saling melayani satu sama lain dengan penuh hormat dan semangat muhibah.

"Hubungan dua hala sudahpun berkembang di banyak bidang dan kami bekerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara lain untuk membina ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) yang kohesif dan bersatu padu." 

- CNA/FZ/fz

Top