Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, keluarga Tan Eng Soon zahir penghargaan kepada M'sia

Pemerintah Singapura menzahirkan penghargaan kepada Malaysia dan semua agensi Malaysia yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di Mersing, Johor, sejak 10 hari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, keluarga Tan Eng Soon zahir penghargaan kepada M'sia

Encik Tan Eng Soon hilang ketika mendayung kayak dekat Mersing pada Ogos 2019 (Gambar: Louis Pang/Instagram)

Diterbitkan : 20 Aug 2019 12:05AM Dikemas Kini : 20 Aug 2019 12:07AM

SINGAPURA: Pemerintah Singapura menzahirkan penghargaan kepada Malaysia dan semua agensi Malaysia yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di Mersing, Johor, sejak 10 hari lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (MFA) Singapura, ia adalah operasi intensif yang menyaksikan aset dan tenaga kerja dikerah dalam keadaan mencabar, meliputi kawasan perairan yang luas di Johor, Pahang dan Terengganu.

“Kami amat berterima kasih kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), yang mengetuai operasi SAR dan menyelaras pelbagai agensi Malaysia di darat dan laut.

“Kami juga terharu dengan sokongan dan bantuan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat, terutamanya nelayan di kawasan berkenaan yang memainkan peranan penting dalam usaha pencarian itu,” menurut MFA lagi.

Operasi SAR yang menjejaki warga Singapura Tan Eng Soon yang masih hilang sejak 8 Ogos lepas ketika menyertai ekspedisi berkayak di perairan Mersing ditamatkan semalam (18 Ogos), selepas penyelamat gagal menemui petunjuk baru.

Pengarah Maritim negeri Johor, Aminuddin Abdul Rashid berkata pencarian itu akan diaktifkan semula jika ada petunjuk baru.

Cik Puah Geok Tin, 57 tahun, dan Encik Tan Eng Soon, 62 tahun, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas terpisah dengan 13 lagi rakan mereka berikutan laut bergelora dan angin kuat ketika berkayak di perairan Mersing.

Mayat Cik Puah, ditemukan terapung di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman, Terengganu pada 12.50 tengah hari, 14 Ogos.

MFA juga menzahirkan simpati kepada keluarga kedua-dua mangsa.

“Ingatan dan doa kami untuk keluarga mangsa pada saat-saat yang sukar ini,” menurut kementerian itu.

Sementara itu, keluarga Encik Tan juga menitipkan nota terima kasih.

"Kami, keluarga Tan Eng Soon, ingin mengucapkan terima kasih kepada APMM (maritim Malaysia) dan semua organisasi lain yang terlibat dalam pencariannya,” kata keluarga itu.

“Sokongan dan simpati nelayan dan masyarakat tempatan juga telah menyentuh perasaan kami dan memberi kami kekuatan, menempuh waktu yang sukar ini.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada MFA Singapura yang telah bersusah payah melaksanakan tanggungjawab untuk bersama kami.

“Walaupun kami tidak dapat menemui mayatnya, kami menerima kenyataan ini bahawa beliau sememangnya menyukai laut dan beliau akan aman di sana,” kata keluarga itu.  

Sumber : Bernama/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan