Images
  • lumihealth mobile app
    Aplikasi mudah alih LumiHealth (Gambar: Apple)

S'pura jalin kerjasama dengan Apple galak perubahan gaya hidup sihat dengan LumiHealth

SINGAPURA: Singapura menjalinkan kerjasama dengan Apple untuk satu aplikasi baru, LumiHealth, yang menggunakan teknologi dan pemahaman tingkah laku untuk menggalak warga Singapura supaya melakukan perubahan gaya hidup positif dan kekal sihat.

Dalam kenyataan media pada Rabu (16 Sep), Apple menyatakan bahawa LumiHealth adalah sebuah program diperibadikan percuma yang menggunakan Apple Watch untuk menyediakan peringatan, bimbingan kegiatan dan ganjaran kepada para peserta.

Di dalam aplikasi tersebut, para pengguna meneroka ruang-ruang dunia dengan "penjelajah mesra antara galaksi" yang membimbing mereka melakukan tugas-tugas diperibadikan berdasarkan usia, jantina dan berat badan mereka. Tugas-tugas ini termasuk matlamat kegiatan mingguan yang boleh dicapai dengan berjalan kaki, berenang, yoga dan kegiatan-kegiatan lain.

LumiHealth juga mengingatkan pengguna untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan imunisasi, dan mengambil bahagian dalam cabaran kesejahteraan yang bertujuan untuk memperbaiki tabiat tidur dan kesedaran batin selain menggalak pemilihan makanan yang lebih baik.

Dengan menyempurnakan matlamat dan cabaran itu, para pengguna membantu penjelajah antara galaksi itu pulang dan boleh meraih ganjaran bernilai hingga S$380 sepanjang tempoh dua tahun program tersebut.

PROGRAM DIREKA DENGAN KERJASAMA DOKTOR, PAKAR KESIHATAN

Program itu disertai secara sukarela - para pengguna perlu memilih dan memberikan kebenaran untuk berkongsi maklumat dengan LumiHealth apabila mereka menyertainya dan mereka boleh menarik diri pada bila-bila masa.

Pengumpulan sebarang maklumat peribadi akan dihadkan kepada maklumat yang membolehkan aplikasi itu menyediakan pengalaman yang khusus dan relevan kepada pengguna. Semua data pengguna akan disulitkan untuk melindungi privasi dan akan disimpan dalam "sistem keselamatan tinggi" yang mematuhi sepenuhnya undang-undang privasi dan keselamatan data Singapura, kata Apple.

Data tersebut akan disimpan di Singapura dan sekiranya pengguna memilih untuk berkongsi maklumat mereka, butir-butir untuk mengenal pasti identiti seperti nama dan alamat akan dikeluarkan sebelum data tersebut dikongsi dengan Apple.

LumiHealth, yang dibangunkan dengan kerjasama para doktor dan pakar kesihatan awam, akan diperibadikan secara lebih tepat sedang lebih banyak data dikumpulkan - dengan persetujuan peserta - dan pemahaman terhadap tingkah laku pengguna diperdalam, menurut Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) dalam satu kenyataan berasingan.

Data yang dikumpulkan akan membolehkan pencelahan bagi menggalak kesihatan diperibadikan dengan lebih baik, lantas menyumbang kepada pengurangan kematian dan ketidakupayaan yang boleh dicegah, serta peningkatan mutu hidup warga Singapura, menurut agensi-agensi tersebut.

Pemahaman dan pengetahuan yang diraih daripada program itu juga boleh digunakan untuk membentuk pencelahan dan usaha kesihatan awam pada masa depan.

Program LumiHealth akan dilancarkan secara rasmi pada lewat Oktober. Aplikasi mudah alihnya kini tersedia untuk tempahan awal di App Store.

Penduduk Singapura dengan akaun SingPass berusia 17 tahun ke atas layak untuk menyertai LumiHealth. Para pengguna memerlukan Apple Watch dan aplikasi LumiHealth dalam iPhone mereka.

Program itu pada awalnya tersedia hanya dalam bahasa Inggeris, tetapi panduan visual disertakan untuk membantu pengguna menggunakan aplikasi itu.

- CNA/TQ/tq

Top