Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, Hong Kong secara prinsip setuju tubuh gelembung perjalanan udara dua hala

Singapura dan Hong Kong sudah mencapai satu persetujuan secara prinsip untuk menubuhkan gelembung perjalanan udara dua hala yang akan mengecualikan para pelawat daripada kuarantin atau Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, Hong Kong secara prinsip setuju tubuh gelembung perjalanan udara dua hala

Daya tarikan pelancong, Victoria Peak, di Hong Kong pada 7 Apr 2020. (Gambar: Anthony Wallace/AFP)

Diterbitkan : 15 Oct 2020 04:12PM Dikemas Kini : 15 Oct 2020 04:15PM

SINGAPURA: Singapura dan Hong Kong sudah mencapai satu persetujuan secara prinsip untuk menubuhkan gelembung perjalanan udara dua hala yang akan mengecualikan para pelawat daripada kuarantin atau Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Individu yang melakukan perjalanan di bawah persetujuan itu tidak akan dikenakan sekatan ke atas tujuan perjalanan mereka dan tidak memerlukan jadual perjawalan yang dikawal, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan medianya pada Khamis (15 Okt).

Pelawat juga tidak tertakluk kepada syarat-syarat kuarantin atau SHN.

Sebaliknya, pelawat perlu diuji negatif melalui ujian reaksi rantai polimeras (PCR) COVID-19 yang saling diiktiraf oleh kedua-dua pihak.

Mereka juga dikehendaki menaiki pesawat yang dikhususkan bagi individu yang melakukan perjalanan di bawah persetujuan itu.

Gelembung perjalanan udara, jelas MOT, boleh "diskalakan dengan menyesuaikan jumlah penerbangan khusus bahkan ia juga boleh ditangguhkan sejajar dengan perkembangan terkini serta keadaan COVID-19 di kedua-dua bandar itu".

"Kedua-dua bandar kita mempunyai kadar kes COVID-19 yang rendah dan sudahpun melaksanakan mekanisme yang kukuh untuk menguruskan serta mengawal COVID-19," kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung.

"Ini memberikan kami keyakinan untuk secara bersama dan berperingkat untuk saling membuka sempadan kita."

MOT menyatakan bahawa "dengan matlamat untuk mencapai pelaksanaan awal", Singapura dan Hong Kong "komited untuk mengumumkan maklumat lengkap" mengenai gelembung perjalanan udara "dalam masa beberapa minggu mendatang".

Tarikh pelancaran gelembung perjalanan udara dan maklumat pelaksanaannya akan diumumkan apabila siap kelak, menurut MOT.

Minggu lalu, Encik Ong berkata dalam satu kenyataan menteri yang disampaikan di Parlimen bahawa Singapura sedang mengusahakan gelembung perjalanan udara dengan negara serta rantau yang selamat. Ini di samping langkah-langkah lain seperti melonggarkan sekatan sempadan secara sepihak sebagai sebahagian daripada rancangan negara ini untuk memulihkan hab udaranya.

Gelembung perjalanan udara adalah bagi pelawat am yang tidak memerlukan jadual perjalanan terkawal.

Ia berbeza daripada laluan hijau timbal balik yang dikhususkan bagi perjalanan atas urusan rasmi dan perniagaan.

"Walaupun kita harus mewujudkan (gelembung perjalanan udara) hanya dengan negara dan wilayah yang selamat, kita dapat menguruskan risiko dengan menetapkan kuota ke atas jumlah pelancong setiap hari serta memastikan semua orang mematuhi protokol ujian COVID-19," kata menteri itu.

"Kam juga memerlukan pelawat untuk memohon bagi pas perjalanan udara sebelum melakukan perjalanan mereka untuk membolehkan kami merancang ketibaan mereka dan menurunkan jumlahnya, mengurangkan kuota, jika keadaan epidemik berubah."

Dalam ucapannya, Encik Ong turut menyebut bahawa Hong Kong adalah antara rakan kongsi yang Singapura berharap akan dapat memulakan perbincangan tentang usaha memeterai persetujuan gelembung perjalanan udara.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan