Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura harus ada pasukan kepimpinan paling kukuh agar 'dipandang serius', tegas Chan Chun Sing

Singapura memerlukan pasukan kepimpinan yang paling kukuh supaya pihak lain "memandang kita dengan serius dan bekerja bersama," kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura harus ada pasukan kepimpinan paling kukuh agar 'dipandang serius', tegas Chan Chun Sing

PM Lee Hsien Loong bersama Encik Vivian Balakrishnan, Encik S Iswaran, Encik Ong Ye Kung dan delegasi Singapura mengadakan mesyuarat yang dihos Presiden Donald Trump. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 14 May 2018 10:36PM Dikemas Kini : 14 May 2018 10:41PM

SINGAPURA: Singapura memerlukan pasukan kepimpinan yang paling kukuh supaya pihak lain "memandang kita dengan serius dan bekerja bersama," kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing hari ini (14 Mei) di perbahasan mengenai Ucapan Presiden di Parlimen.

Encik Chan berkata bahawa 'tidak mencukup' dengan hanya mendapatkan individu-individu yang berkebolehan tetapi mereka juga perlu dibentuk menjadi pasukan yang paling kukuh. Semangat kerjasama ini, tambahnya, tidak hanya wujud dalam satu generasi tetapi juga antara generasi.

"Model kepimpinan kami adalah dengan mewujudkan pasukan kepimpinan berbilang generasi untuk membantu generasi seterusnya mencatat prestasi yang lebih baik," kata Encik Chan. "Ini memastikan kesinambungan dalam perhubungan kami dengan pihak lain dan dalam kita bersaing di peringkat global yang tertinggi dengan wawasan yang konsisten dan perlaksanaan yang bermatlamat.

"Semua ciri kepimpinan ini - komitmen, semangat kerjasama, berwawasan dan berani untuk berubah- adalah ciri-ciri yang diperlukan untuk memastikan sistem kami berbeza dari yang lain," tambah beliau.

Encik Chan juga menarik perhatian bahawa beliau berpegang kepada perlunya pemimpin politik, bukan saja anggota politik, untuk memimpin negara. Pemimpin-pemimpin sedemikian katanya membuat pertimbangan dengan teliti sebelum membuat keputusan dan tidak akan memilih idea yang paling mudah dilaksanakan atau huraian bagi kepentingan peribadi atau hasil jangka pendek.

"Ini juga bermakna para pemimpin itu berani membuat keputusan yang sukar atau tidak popular, berpandukan tekad untuk sentiasa melakukan sesuatu yang terbaik bagi kepentingan Singapura dan rakyat Singapura - tidak pernah menolak tanggungjawab terhadap generasi sekarang ini dan masa depan," kata beliau.

Selain itu, Encik Chan menekankan perlunya memastikan politik yang 'membina' dan bukan hanya untuk meraih undian rakyat.

Demi menambat hati dan undian rakyat, beliau berkata bahawa Pemerintah harus bekerja keras untuk membangunkan dasar yang utuh bagi masa depan bersama negara ini.

"Meraih undi dengan mencetus kemarahan dan rasa tidak puas mungkin amalan politik lumrah di negara lain. Ini adalah politik yang negatif dan tidak membina," tegas Encik Chan.

"TERIMA KASIH ENCIK LOW"

Encik Chan yang ramai jangkakan antara pilihan untuk mengambil alih Perdana Menteri Lee Hsien Loong, juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada mantan Ketua Parti Buruh Low Thia Khiang atas sumbangan beliau.

Encik Low baru-baru ini menyerahkan tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung parti pembangkang itu kepada Encik Pritam Singh meskipun beliau kekal dalam Majlis Eksekutif Pusat.

Encik Chan berkata bahawa sungguhpun Encik Low mewakili pihak pembangkang, beliau juga merupakan seorang rakyat Singapura dan adalah sebahagian daripada Team Singapore.

"Meskipun kami tidak selalunya bersetuju dengan pandangan dan pendekatan beliau, kami tetap menghargai usaha beliau untuk bekerjasama bagi membina Singapura yang lebih baik," kata Encik Chan.
"Sungguhpun Encik Low mempunyai pandangan yang berbeza, namun dari ucapan-ucapannya, kami dapat mengesan rasa bangganya terhadap Singapura dan tekadnya untuk mempertahankan kedaulatan kita.

"Terima kasih Encik Low."

Parti Tindakan Rakyat (PAP) juga mengalu-alukan kerjasama dengan Encik Singh dan WP untuk "sentiasa mendahulukan kepentingan Singapura dan rakyat Singapura," tambah Encik Chan.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan