Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura gantung hubungan dagang dengan Korea Utara

Singapura menjadi negara terkini untuk menggantung hubungan perdagangannya dengan Korea Utara sedang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengukuhkan sekatan-sekatannya atas program nuklear negara itu, menurut notis kastam yang diperolehi hari ini (16 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Nov 2017 05:44PM Dikemas Kini : 16 Nov 2017 10:45PM

SINGAPURA: Singapura menjadi negara terkini untuk menggantung hubungan perdagangannya dengan Korea Utara sedang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengukuhkan sekatan-sekatannya atas program nuklear negara itu, menurut notis kastam yang diperolehi hari ini (16 Nov).

Langkah tersebut diambil lebih kurang dua bulan selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan yang berhubung dengan Korea Utara terhadap beberapa firma dan individu, termasuk dua entiti yang berpangkalan di Singapura.

"Singapura akan melarang semua barangan dagang komersil dari, ataupun ke Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK)." Demikian menurut Kastam Singapura dalam satu notis yang diberikan kepada para pedagang dan para ejen Selasa lalu (14 Nov) dengan merujuk kepada negara berkenaan menggunakan nama rasminya.

Pergantungan tersebut akan berkuat kuasa dari 8 November menurut Fauziah A. Sani, ketua strategi perdagangan dan keselamatan bagi ketua pengarah kastam dalam notis itu.

Menurut notis itu lagi, mereka yang melanggar larangan baru itu berulang-kali boleh dijatuhi hukuman denda sehingga S$200,000 ataupun empat kali ganda nilai barangan yang didagang, dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Singapura merupakan rakan dagangan Korea Utara yang ketujuh terbesar. Filipina yang merupakan rakan dagangan kelima terbesar Pyongyang sudahpun menggantung perdagangan dengan Korea Utara pada September lalu demi mematuhi ketetapan PBB.

Ketegangan di Semenanjung Korea kian meningkat sedang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, meningkatkan lagi pembangunan senjata-senjata yang melanggar sekatan PBB.

Korea Utara menjalankan beberapa ujian peluru berpandu tahun ini, termasuk di kawasan Jepun. Selain itu, ia juga menjalankan ujian nuklearnya yang keenam dan paling besar September lalu.

Pyongyang masih mengekalkan kehadiran diplomatik di Singapura dan mempunyai sebuah kedutaan di kawasan kewangannya.

September lalu, Singapura turut mengeluarkan nasihat pelancongan bagi rakyatnya untuk mengelak daripada mengunjungi Korea Utara jika tidak perlu memandangkan Singapura tidak mempunyai wakil diplomatik di negara berkenaan.

Dalam satu wawancara bersama Radio Awam Nasional Mei lalu, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata bahawa Singapura masih belum bersedia untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

Pada bulan Januari tahun lalu, Chinpo Shipping Company (Private) Ltd iaitu syarikat yang berpangkalan di Singapura didenda S$180,000 kerana mengendalikan penghantaran senjata-senjata ke Korea Utara yang melanggar sekatan PBB.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan