Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura di ambang kemelesetan teknikal; faktor luaran antara punca

Ekonomi Singapura mungkin di ambang kemelesetan teknikal.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Ekonomi Singapura mungkin di ambang kemelesetan teknikal.

Demikian kongsi Saktiandi Supaat, Naib Presiden Eksekutif bagi Pasaran Global, Ketua Kajian dan Strategi Mata Wang Asing Maybank, selepas data rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengesahkan bahawa ekonomi negara tumbuh pada rentak yang paling perlahan dalam tempoh sedekad pada suku kedua tahun ini.

Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi suku kedua menunjukkan ekonomi negara tumbuh hanya 0.1 peratus.

Berdasarkan perangkaan yang hambar itu, pemerintah memutuskan untuk menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi negara kepada antara sifar hingga 1 peratus bagi tahun ini.

KEKECOHAN DI NEGARA ASING TURUT TEMPIAS KE EKONOMI S'PURA

Menurut sebilangan pakar ekonomi termasuk Encik Saktiandi, faktor-faktor luaran seperti Brexit di Britain dan pergolakan yang sedang berlaku di Hong Kong adalah antara punca yang menjejas ekonomi Singapura.

Naib Presiden Eksekutif bagi Pasaran Global, Ketua Kajian dan Strategi Mata Wang Asing Maybank, Saktiandi Supaat.

"Buat masa ini, ramalan kami adalah 0.6 peratus, tahun demi tahun untuk tahun 2019. Jadi kita amat dekat sekali dengan pertumbuhan sifar untuk 2019 kerana beberapa faktor.

"Permintaan luaran telah menurun kerana impak perang dagangan global antara Amerika Syarikat dengan negara China telah menurunkan jumlah perindustrian dan juga jumlah perdagangan di dalam dunia global. Kedua adalah permintaan elektronik atau pusingan elektronik itu telah menurun beberapa suku yang lalu. Jadi memberi impaknya kepada dunia global juga," kata Encik Saktiandi, yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Bishan - Toa Payoh.

RAKYAT JUGA HARUS MAINKAN PERANAN

Dengan landskap ekonomi global yang mencabar, Encik Saktiandi yakin bahawa pemerintah akan dapat menanganinya.

(Gambar fail: Sutrisno Foo)

"Pemerintah Singapura mempunyai aset-aset ataupun kuasa untuk memberi sedikit sebanyak pertolongan kepada rakyat Singapura. Kita mempunyai situasi kedudukan kewangan yang amat baik. Pemerintah sekarang memantau situasi ekonomi global dan di rantau ini serta faktor-faktor yang telah memberi kesan kepada dunia sekarang," ujar Encik Saktiandi.

Selain usaha pemerintah, Encik Saktiandi turut menggesa rakyat supaya terus mempertingkatkan diri dengan menajamkan kemahiran untuk kekal berdaya saing bukan saja di sini, bahkan juga di peringkat serantau.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan