Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura derma $136,000; lancar kutipan dana awam bantu mangsa gempa Lombok

Singapura bersedia membantu Indonesia dari segi bantuan kemanusiaan dengan menyumbang dana sejumlah AS$100,000 (S$136,687) bagi melancarkan kutipan dana awam yang diterajui oleh Persatuan Palang Merah Singapura. Ini menyusuli gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter yang menggegarkan Lombok.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura derma $136,000; lancar kutipan dana awam bantu mangsa gempa Lombok

Rumah yang roboh akibat gempa di Lendang Bajur Hamlet di Lombok, Indonesia. (Gambar: Ahmad Subaidi/Antara Foto melalui Reuters)

Diterbitkan : 06 Aug 2018 07:04PM Dikemas Kini : 06 Aug 2018 07:13PM

SINGAPURA: Singapura bersedia membantu Indonesia dari segi bantuan kemanusiaan dengan menyumbang dana sejumlah AS$100,000 (S$136,687) bagi melancarkan kutipan dana awam yang diterajui oleh Persatuan Palang Merah Singapura. Ini menyusuli gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter yang menggegarkan Lombok.

Ini diumumkan dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin (6 Ogos).

Dalam kenyataan itu, Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut menyampaikan takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo.

Presiden Halimah berkata, beliau "amat sedih" dengan berita mengenai gempa bumi yang melanda Lombok di Nusa Tenggara Barat, yang meragut ramai nyawa dan menimpakan kerosakan besar.

"Bagi pihak rakyat Singapura, saya menyampaikan takziah yang mendalam kepada keluarga-keluarga yang terjejas dan berharap agar mereka yang cedera dapat sembuh dengan segera," kata Presiden Halimah.

Presiden Halimah dan PM Lee juga menekankan bahawa Singapura bersedia untuk membantu Indonesia.

"Singapura menawarkan bantuan dari segi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Indonesia. Ingatan kami sentiasa dengan Indonesia dan rakyatnya semasa masa-masa sukar ini," kata PM Lee.

Menurut laporan-laporan media, sekurang-kurangnya 91 orang terkorban akibat gempa bumi yang melanda pada Ahad (5 Ogos).

Memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp, MFA menyatakan "sejauh ini, tiada sebarang laporan mengenai rakyat Singapura yang cedera akibat gempa bumi tersebut".

Dalam nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada Isnin (6 Ogos), MFA menasihati rakyat Singapura yang berada di Lombok supaya membuat rancangan untuk meninggalkan kawasan itu menerusi penerbangan-penerbangan komersil yang masih beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok.

Rakyat Singapura yang berada di kawasan-kawasan terjejas harus mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya, mengikuti berita tempatan bagi mendapatkan maklumat terkini dan mematuhi nasihat dan arahan pihak berkuasa tempatan.

MFA menyatakan: "Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Jakarta menerusi talian +62 811 863 348 atau Pejabat Petugas 24-jam MFA menerusi talian +65 6379 8800/8855." 

Sumber : Today/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan