Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura dan Perancis meterai perjanjian bagi tingkatkan hubungan ekonomi dan inovasi

Semasa di Paris, Encik Chan juga mengunjungi kampus pemula Station F untuk lebih memahami budaya inovasi yang bertenaga di Perancis.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura dan Perancis meterai perjanjian bagi tingkatkan hubungan ekonomi dan inovasi

Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Chan Chun Sing mengunjungi kampus pemula Station F di Perancis.

Diterbitkan : 13 Jul 2018 09:43AM Dikemas Kini : 13 Jul 2018 09:53AM

PARIS: Syarikat-syarikat pemula Singapura boleh menjangkakan akses yang lebih baik untuk menembusi pasaran Perancis, serta sokongan untuk memudahkan pembiayaan dana bagi projek-projek inovasi dengan syarikat-syarikat Perancis.

Ini akan dilakukan melalui beberapa kaedah seperti inisiatif bersama dan program pertukaran, di bawah tiga perjanjian yang ditandatangani antara Singapura dengan Perancis pada hari Khamis (12 Jul), yang bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi dan inovasi antara kedua-dua negara.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Chan Chun Sing menyifatkan perkongsian itu sebagai penting bagi menggalak keterbukaan, di tengah-tengah dasar perlindungan yang meningkat dan sentimen global yang lebih mementingkan pasaran domestik.

"Kita mesti memastikan agar kita mempunyai rangkaian ini untuk membolehkan rakyat kita dan syarikat-syarikat pemula kita untuk mendapat peluang yang sama untuk mengakses rangkaian global tersebut. Kepesatan inovasi semakin meningkat, jangkauan teknologi yang boleh dicapai hari ini jauh berbeza daripada apa yang pernah kita dapat lakukan pada masa lalu," katanya.

"Oleh itu, kita perlu merebut semua peluang ini untuk menembusi rangkaian ini di seluruh dunia bagi meneruskan usaha kita supaya dapat mewujudkan pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat dan lebih banyak peluang untuk perniagaan kita."

Encik Chan berkata bahawa hubungan global seperti ini akan membolehkan syarikat-syarikat dan para pekerja Singapura untuk menimba kemahiran dari seluruh dunia dan meningkatkan usaha mereka untuk menebar sayap ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata demikian di majlis bagi memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) antara Enterprise Singapore, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dengan institusi-institusi Perancis semasa lawatannya ke Paris.

Secara keseluruhannya, perjanjian yang dimeterai adalah sebahagian daripada usaha yang lebih meluas untuk menubuhkan dan memperluaskan program Perikatan Inovasi Global (GIA) di Paris.

Kerjasama tersebut dilancarkan tahun lalu untuk memperkukuhkan hubungan Singapura dengan hab-hab inovasi di seluruh dunia, mewujudkan lebih banyak peluang bagi para pelajar, usahawan dan perniagaan Singapura untuk berurusan serta bekerjasama dengan rakan-rakan sejawatan mereka di luar negara dan menimba pengalaman di luar negara.

Semasa di Paris, Encik Chan juga mengunjungi kampus pemula Station F untuk lebih memahami budaya inovasi yang bertenaga di Perancis.

Lawatan itu, bersama dengan perjanjian yang dimeterai, menekankan komitmen Singapura untuk memperkukuhkan hubungan inovasi dengan Perancis, sebagai sebahagian daripada

Tahun Inovasi Perancis-Singapura 2018, di mana kedua-dua negara akan meningkatkan pertukaran dan kerjasama dalam ruang inovasi.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan