Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura dalam 'keadaan amat menyedihkan' jika saya perlu tinggal di Oxley Road untuk tampil yakinkan penduduk, kata PM Lee dalam kes saman fitnah

Encik Lee membuat kenyataan itu di mahkamah dalam sesi soal jawab bersama peguam Lim Tean tentang sama ada beliau memperdayakan bapanya untuk percaya bahawa rumah itu akan diwartakan sebagai hartanah warisan.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura dalam 'keadaan amat menyedihkan' jika saya perlu tinggal di Oxley Road untuk tampil yakinkan penduduk, kata PM Lee dalam kes saman fitnah

38 Oxley Road. (Gambar: Howard Law)

Diterbitkan : 01 Dec 2020 08:56PM Dikemas Kini : 01 Dec 2020 08:59PM

SINGAPURA: Jika beliau masih perlu tinggal di rumah mendiang ayahnya Encik Lee Kuan Yew di 38 Oxley Road untuk "menampilkan aura kuasa dan meyakinkan penduduk", kedua-dua dirinya sendiri dan Singapura berada dalam "keadaan yang amat menyedihkan", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (1 Dis).

Encik Lee membuat kenyataan itu di mahkamah dalam sesi soal jawab bersama peguam Lim Tean tentang sama ada beliau memperdayakan bapanya untuk percaya bahawa rumah itu akan diwartakan sebagai hartanah warisan.

Rumah di Oxley Road menjadi tumpuan utama dalam kes saman fitnah yang dikenakan Encik Lee terhadap pelanggan Encik Lim - Ketua Editor laman sosio-politik The Online Citizen (TOC) Terry Xu.

Kes itu mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada Isnin. Ia disambung hari ini dengan mahkamah dipenuhi ramai orang yang ingin mengikuti pemeriksaan balas Encik Lim terhadap PM Lee.

Encik Lee memfailkan tindakan saman fitnah ke atas Encik Xu berhubung dakwaan dibuat TOC dalam satu rencana diterbitkan Ogos tahun lalu.

Artikel itu berjudul “PM Lee’s wife Ho Ching weirdly shares article on cutting ties with family members” (Isteri PM Lee, Ho Ching, anehnya kongsi artikel tentang memutuskan hubungan dengan anggota keluarga).

Semasa perbicaraan selama tiga jam pagi tadi, PM Lee menekankan pendirian beliau berhubung 38 Oxley Road iaitu ia "tidak dapat dipertahankan secara politik" bagi beliau untuk meraih keuntungan dengan membangunkan semula hartanah itu.

Jika beliau ingin menuruti kehendak mendiang ayahnya dan buat demikian, beliau "akan membuat kesalahan kepada Singapura", kata PM Lee.

Sebahagian sebab tindakan saman fitnah itu dibuat adalah kerana mereka yang membaca artikel TOC itu akan berpandangan bahawa PM Lee memperdayakan bapanya sehingga percaya bahawa pemerintah akan mewartakan rumah itu dan tidak guna bagi mendiang Encik Lee untuk bertegas agar rumah itu perlu dirobohkan.

Rumah berkenaan tidak pernah diwartakan.

Sebaliknya, hujah Encik Xu pula bahawa antara 27 Disember 2011 apabila mendiang Encik Lee menulis kepada Kabinet tentang rumah itu dan 6 September 2012 apabila dalam satu emel beliau berkata bahawa rumah itu sudah diwartakan sebagai bangunan warisan, beliau sudah diperdaya bahawa rumah itu diwartakan.

TIADA TINDAKAN BEBAS

Awal sebelum ini, PM Lee memberi keterangan bahawa ramai anggota masyarakat, editor akhbar serta anggota Kabinet mahu rumah itu dipulihara. Mendiang Encik Lee pula mahu ia dirobohkan.

Hari ini, dalam usaha menetapkan cadangan bahawa mendiang Encik Lee percaya rumah itu akan diwartakan, Encik Lim menyoal PM Lee tentang sejumlah emel antara beliau bersama ayahnya, Cik Ho dan adik beradiknya.

Encik Lim memberitahu PM Lee di mahkamah: "Hakikatnya adalah anda sebagai PM, orang paling berkuasa di Singapura secara politik - anda mempunyai kata putus. Bukan editor, bukan Kabinet dan orang ramai."

PM Lee membalas: "Itulah yang dikatakan ayah saya tetapi saya menjelaskan kepada beliau apa yang akan saya buat jika saya yang membuat keputusan. Maksudnya, saya benar-benar tidak ada kebebasan untuk membuat tindakan."

"RAKYAT S'PURA KENAL SAYA"

Encik Lim kemudian membayangkan bahawa mendiang Encik Lee "kecewa" selepas pertemuannya dengan Kabinet pada Julai 2011. PM Lee membalas: "Itu salah."

Peguam itu turut mencadangkan bahawa agak "mudah" bagi PM Lee berkata ada tekanan daripada pihak lain untuk memulihara rumah itu walhal ayahnya tahu bahawa beliau, yakni PM Lee, yang membuat keputusan.

"Saya menolak dakwaan itu sepenuhnya dan saya sudah menjelaskan mengapa," balas PM Lee.

"Jadi, adik beradik anda betul apabila mereka berkata bahawa anda ingin menyimpan rumah itu untuk mewarisi kewibawaan Lee Kuan Yew?" tanya peguam itu. PM Lee menganggap pandangan itu sebagai "merepek".

Encik Lim kemudian bertanya: "PM yang tinggal di Oxley, adakah ia akan mengingatkan orang ramai akan ayah anda?"

"Mungkin untuk kebaikan atau sebaliknya," jawab PM Lee.

"Adakah maksud anda bahawa rakyat Singapura mempunyai pandangan buruk tentang ayah anda?" tanya peguam itu.

"Saya berkata rakyat Singapura mengenali saya ... Saya telah menjadi ahli politik selama 36 tahun, PM selama 16 tahun. Jika saya masih perlu tinggal di rumah itu untuk menunjukkan kuasa dan meyakinkan penduduk, saya rasa saya berada dalam keadaan yang amat menyedihkan dan Singapura juga akan berada keadaan amat menyedihkan," jawab PM Lee.

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan