Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, China setuju perkukuh kerjasama lindungi alam sekitar

Satu persetujuan permulaan dicapai oleh Singapura dan China bagi kerjasama dalam bidang ekonomi pusingan, tamadun ekologi serta kajian dan pengembangan (R&D) dan inovasi sekitaran.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, China setuju perkukuh kerjasama lindungi alam sekitar

Encik Masagos Zulkifli dan Menteri Ekologi dan Sekitaran China Li Ganjie. (Gambar: Kementerian Ekologi dan Sekitaran China/Weixin)

CHINA: Satu persetujuan permulaan dicapai oleh Singapura dan China bagi kerjasama dalam bidang ekonomi pusingan, tamadun ekologi serta kajian dan pengembangan (R&D) dan inovasi sekitaran.

Demikian menurut Kementerian Ekologi dan Sekitaran China, yang merumuskan tentang pertemuan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli dengan Menteri Ekologi dan Sekitaran China Li Ganjie menerusi aplikasi sosial Weixin.

Ia menyimpulkan bahawa rundingan antara kedua-dua menteri bertujuan memperkukuh kerjasama China -Singapura bagi melindungi alam sekitar.

Lantaran itu, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Menteri Ekologi dan Sekitaran China Li Ganjie bersetuju untuk menandatangani rangka kerja bagi kerjasama pada masa yang sesuai.

Ia juga menyatakan Encik Li menekankan bahawa matlamat pemerintah China adalah untuk "menang dalam perang mencegah pencemaran" menjelang tahun 2020.

Ini akan dilakukan dengan menumpukan perhatian kepada tiga aspek - melindungi langit yang biru serta air dan tanah yang bersih.

Encik Li kemudian berkata usulan Singapura untuk memperkukuh kerjasama bagi melindungi alam sekitar, seiring dengan trend pembangunan di kedua-dua negara dan memerlukan kerjasama dua hala.

Semasa pertemuan antara kedua-dua menteri, mereka turut membincangkan isu-isu seperti mewujudkan sekitaran menghijau bagi Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China, kerjasama melindungi sekitaran ekologi dalam lingkungan rangka kerja ASEAN serta menangani perubahan iklim.

Encik Masagos dan Encik Li juga saling bertukar-tukar pandangan berhubung Mesyuarat Khas Para Menteri ASEAN berhubung Perubahan Iklim, Forum Kerjasama Sekitaran China-ASEAN dan forum sekitaran Asia Pasifik UNEP.

Encik Masagos bertemu dengan Encik Li sebagai sebahagian dari rangka lawatannya ke China dari 2 hingga 4 Mei.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan