Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura catat kes tertinggi bunuh diri dalam 8 tahun di tengah pandemik COVID-19

Singapura melaporkan 452 kes bunuh diri tahun lalu, iaitu jumlah tertinggi sejak 2012. Kenaikan itu berlaku sedang tekanan pengasingan dan psikologi dirasakan disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura catat kes tertinggi bunuh diri dalam 8 tahun di tengah pandemik COVID-19

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 08 Jul 2021 06:38PM Dikemas Kini : 08 Jul 2021 06:40PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 452 kes bunuh diri tahun lalu, iaitu jumlah tertinggi sejak 2012. Kenaikan itu berlaku sedang tekanan pengasingan dan psikologi dirasakan disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Bilangan kes pada tahun lalu menunjukkan kenaikan 13 peratus daripada 400 kes yang dilaporkan pada 2019, menurut data yang dikeluarkan Samaritans of Singapore (SOS) pada Khamis (8 Jul).

Kenaikan itu dilihat berlaku dalam kalangan semua lapisan usia, terutama sekali warga senja yang mencatat jumlah tertinggi kes bunuh diri sejak 1991.

Dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, seramai 154 individu meragut nyawa sendiri. Ini merupakan kenaikan 26 peratus berbanding 2019.

Dalam kumpulan usia lain – iaitu belia berusia 10 hingga 29 tahun dan orang dewasa berusia 30 hingga 59 tahun – kes-kes bunuh diri naik tujuh peratus berbanding 2019.

Secara keseluruhannya, jumlah kes kematian akibat bunuh diri naik kepada 8.88 bagi setiap 100,000 penduduk, kenaikan 0.88 berbanding 2019.

“COVID-19 menjejas teruk ekonomi, gaya hidup dan kesihatan mental di negara ini. Kami berasa sangat bimbang tentang bagaimana warga tua kita menangani keadaan sepanjang krisis kesihatan awam ini,” menurut ketua eksekutif SOS Gasper Tan.

WARGA SENJA DALAM KERESAHAN

Dalam situasi pandemic, warga tua lebih berkemungkinan berdepan pengasingan sosial dan beban kewangan, kata Encik Tan.

Mereka juga mungkin berdepan kesukaran untuk terus menyesuaikan diri kepada perubahan dan kesunyian yang berlarutan dan ini boleh “mencengkam perasaan”, kata beliau.

Walaupun kes bunuh diri lebih tinggi dalam kalangan orang tua, SOS mendapati bilangan panggilan yang diterimanya daripada golongan tersebut melalui talian hotline 24 jam pencegahan bunuh diri berkurangan.

Sebanyak 4,455 panggilan kepada talian hotline itu oleh warga tua dicatat pada tahun lalu, kurang daripada 4,816 panggilan yang diterima pada tahun sebelumnya.

Antara pemanggil yang mendedahkan usia mereka, 17 peratus panggilan dibuat oleh individu yang berusia 60 tahun dan ke atas pada tahun kewangan 2020, berbanding 20 peratus pada tahun kewangan sebelumnya.

CARI CARA UNTUK SALING BERHUBUNG

Para pemanggil berdepan kesukaran untuk mengatasi rasa sunyi dan kurang kegiatan yang berpunca daripada pengasingan, tekanan psikologi dan hubungan sosial dan keluarga yang terganggu, tambah SOS.

Ada warga tua yang tinggal sendiri dan tidak mempunyai sokongan yang mencukupi untuk mengharungi pandemik, kata Pengarah Klinikal Pejabat Kesihatan Penduduk di Institut Kesihatan Mental (IMH), Profesor Madya Adjung Lee Cheng.

“Sebagai contoh, walaupun mereka ingin mematuhi seruan Pemerintah untuk duduk di rumah sebanyak mungkin, mereka mungkin masih perlu keluar untuk dapatkan barangan keperluan mereka.

“Mereka yang sudah terbiasa menyertai kegiatan sosial di luar secara kerap juga mungkin berasa terasing dari segi sosial pada waktu ini,” kata beliau.

Dengan banyak aktiviti fizikal untuk warga tua sudah beralih ke wadah digital sejak pandemik bermula, golongan yang kurang celik teknologi mungkin berasa “kebingungan dan tidak berupaya,” kongsi Encik Tan dari SOS.

“Memandangkan kita tidak tahu bila pandemik ini akan berakhir, penting untuk kita terus memperhebat usaha-usaha dan mencari cara-cara baru untuk menyokong kesihatan mental warga tua,” tambah beliau.

Orang ramai perlu mencari sebanyak mungkin cara untuk mendekati golongan tua yang kesunyian dan terasing secara sosial, kata Profesor Madya Helen Ko, yang mengajar gerontologi di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

“Seringkali, kebanyakan warga tua mahu mendengar suara manusia dan ingin sangat mendengar suara orang-orang yang disayangi. Bagi mereka yang tidak celik digital, harap dapat bersabar kerana mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menimba kemahiran digital,” kata Ko.

HUBUNGI 1-767 UNTUK DAPATKAN BANTUAN

Mulai 26 Julai, orang awam boleh menghubungi talian hotline 24-jam SOS melalui nombor baru empat angka, iaitu 1-767 (atau 1-SOS), umum pertubuhan tersebut.

Ramai orang yang terfikir untuk membunuh diri masih teragak-agak dan takut untuk meminta bantuan, menurut SOS, yang menerima sebanyak 39,779 panggilan dalam tahun kewangan lalu.

Nombor telefon yang dipendekkan itu adalah untuk menjadikannya lebih mudah diingati bagi individu yang sedang berasa sangat tertekan dan dalam krisis, kata Encik Tan.

Talian hotline kekal percuma dan masih boleh dihubungi melalui nombor sedia ada, 1800 221 4444.

“Pengiktirafan sebagai khidmat istimewa dalam masyarakat dan penubuhan kod pendek empat angka yang baru itu menandakan satu detik penting bagi SOS,” kongsi pertubuhan tersebut.

Di mana untuk dapatkan bantuan:

Talian hotline Samaritans of Singapore: 1800 221 4444

Talian bantuan Institut Kesihatan Mental (IMH): 6389 2222

Talian bantuan Pertubuhan Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019

Sumber : CNA/IH/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan