Images
  • hawker
    (Gambar fail: TODAY) 

S'pura calonkan budaya penjaja sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO

SINGAPURA: Budaya penjaja di negara ini akan dicalonkan untuk dimasukkan ke dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan demikian semasa menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan dalam Bahasa Mandarin pada Ahad (19 Ogos).

Pengiktirafan dari UNESCO, kata PM Lee, akan membantu melindungi dan menggalakkan budaya unik Singapura itu bagi generasi-generasi masa depan.

Ia juga dapat memberitahu dunia tentang makanan tempatan dan warisan berbilang budaya negara ini.

Sehubungan dengan itu, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk memberi nasihat mengenai usaha-usaha bagi pencalonan tersebut.

Untuk mendapatkan sokongan orang ramai bagi pencalonan itu pula, beberapa cara akan dilakukan. Antaranya, Lembaga Warisan Negara (NHB) akan mengadakan laman web khas.

Singapura bercadang untuk menghantar pencalonan itu menjelang Mac tahun depan.

Keputusannya dijangka diketahui pada akhir tahun 2020. 

- CNA/MU/ai

Top