Images
  • bank
    (Gambar: NParks)

S'pura buka bank benih tanaman pertama bagi lindungi kepelbagaian tanaman tempatan

SINGAPURA: Bank benih tanaman yang pertama di sini dibuka secara rasmi hari ini (13 Jul).

Itu adalah sebahagian daripada usaha melindungi kepelbagaian tanaman tempatan dan serantau daripada perubahan iklim dan kepupusan habitat.

Kemudahan baru itu boleh menempatkan sehingga 25,000 spesis tanaman iaitu sekitar separuh daripada jumlah tanaman yang ada di Asia Tenggara.

Sebagai contoh, biji benih bagi pohon hampir pupus, Sepetir, didapatkan daripada sebatang pokok warisan di Changi.

Selain itu terdapat juga jenis pohon Queen Coralbead yang sebelum ini disenaraikan sebagai pupus sebelum ditemui semula baru-baru ini.

Spesis tanaman sebegitu berdepan dengan ancaman-ancaman luaran seperti bencana, penyakit dan yang paling penting, perubahan iklim.

Lantaran itu, NParks menubuhkan Bank benih tanaman agar dapat memberi spesis pohon-pohon itu peluang untuk terus wujud.

Para penyelidik NParks sudah memulakan misi untuk mengumpulkan benih-benih pohon yang ada di sini dan Asia Tenggara.

Selain dari makmal-makmal, beberapa bilik simpanan turut disediakan di bank berkenaan untuk para saintis menjalankan kajian terhadap pelbagai cara penyimpanan benih bagi tempoh yang lama.

Orang ramai juga boleh lebih mempelajari tentang kerja-kerja pemuliharaan di sebuah galeri baru yang terletak di dalam kemudahan berkenaan dan di kebun luar.

Sementara itu, lawatan dan perbincangan juga akan diadakan sebagai sebahagian daripada Pesta Warisan Kebun Bunga Singapura, yang diadakan sehingga 21 Julai.

- CNA/RU/na

Top