Images
  • tharman
    Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial Tharman Shanmugaratnam di Sidang Puncak Perniagaan, yang diadakan di London.

S'pura, Britain pertingkat kerjasama kewangan, keselamatan siber

LONDON: Singapura dan Britain bersetuju untuk meningkatkan lagi kerjasama kewangan dan keselamatan siber.

Di Sidang Puncak Perniagaan yang diadakan di London, Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial Tharman Shanmugaratnam dan Menteri Pendidikan Ong Ye Kung menggariskan kerjasama perniagaan masa depan antara kedua-dua negara.

Sidang puncak perniagaan UK-Singapura diadakan sempena dwiabad Singapura.

Maka, ucapan oleh para pemimpin kedua-dua pihak memberi penghormatan kepada hubungan bersejarah antara kedua-dua negara.

"Singapura dan Britain adalah sahabat baik, lantas dengan sejarah yang saling berkaitan dan orientasi bersama ke arah dunia. Ia asas yang kukuh bagi kerjasama dua hala masa depan. Pusat-pusat kewangan masing-masing adalah cahaya yang bersinar bagi ekonomi-ekonomi kita," kata Encik Tharman.

Bank Pusat Singapura menandatangani dua perjanjian dengan City Of London bagi meningkatkan lagi kerjasama kewangan.

Satu perjanjian antara Institut Perbankan dan Kewangan Singapura dengan UK Chartered Body Alliance pula bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan kemahiran.

Kedua-dua negara juga menyokong perdagangan bebas dan berbilang hala.

Menurut Encik Ong, Brexit mewujudkan ketidaktentuan yang besar bagi Britain.

"Dalam keadaan seperti itu, kita perlukan negara-negara yang berfikiran sama untuk menyokong kerjasama dan sebuah dunia yang saling berhubungan," katanya.

Kedua-dua negara berharap kerjasama perniagaan baru itu akan membantu Singapura dan Britain untuk terus berkembang sebagai hab kewangan global masa depan.

- CNA/MM/ai

Top