Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura boleh menjadi hab global di Asia bagi teknologi, inovasi dan perniagaan

Singapura perlu memikirkan cara dan berusaha untuk menjadi sebuah hab teknologi, inovasi dan perniagaan di Asia, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Jan 2019 05:19PM Dikemas Kini : 24 Jan 2019 09:57PM

DAVOS: Singapura perlu memikirkan cara dan berusaha untuk menjadi sebuah hab teknologi, inovasi dan perniagaan di Asia, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat.

Encik Heng berkata demikian dalam satu perbincangan panel tentang globalisasi, anjuran Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos pada Rabu (23 Jan).

"Satu perkara yang perlu kita fikirkan adalah bagaimana Singapura boleh memanfaatkan potensi Industri 4.0 dalam era globalisasi. Saya percaya Singapura boleh menjadi hab global di Asia bagi teknologi, inovasi dan perusahaan.

"Singapura berpotensi menjadi satu landasan yang sangat baik untuk menembusi pasaran rantau ini. Saya harap Singapura akan menjadi tempat persinggahan pertama bagi syarikat-syarikat antarabangsa kerana kami fasih berbahasa Inggeris dan sangat tahu tentang rantau ini," kata Encik Heng.

Beliau menambah, Asia sedang berkembang dengan baik dan Singapura dalam kedudukan unik untuk merangsang pertumbuhan ini.

"Kami mempunyai masyarakat berbilangan kaum dan budaya, setiap kanak-kanak di Singapura fasih dalam sekurang-kurangnya dua bahasa - Bahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda.

"Ini memudahkan kami untuk bekerjasama dengan pihak-pihak dari pelbagai pelusuk dunia. Salah satu perkara yang saya harapkan adalah lebih banyak dapat dilakukan supaya rakyat Singapura dapat mengenali pelbagai budaya dan berinteraksi dengan para penduduk dari merata dunia," tambahnya.

TINGKAT TARAF KEHIDUPAN

Encik Heng juga menekankan pentingnya memanfaatkan teknologi untuk memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi, yang kemudian, akan meningkatkan taraf kehidupan rakyat Singapura.

Namun, untuk mencapai itu kata beliau, rakyat Singapura perlulah bersemangat untuk meningkat kemahiran masing-masing melalui pembelajaran sepanjang hayat.

Encik Heng berkata, rakyat Singapura perlu "mengkonsepsikan semula" makna pembelajaran, sambil menambah bahawa mereka perlu bersedia untuk belajar "di mana-mana sahaja dan dari sesiapa sahaja pada setiap masa".

"Salah satu aspek pembelajaran yang kurang dihargai adalah mempelajari perkara (baru) semasa bertugas. Manusia belajar dengan sangat baik menerusi amali. Ia bukan sekadar belajar, tetapi juga memikirkan: Bagaimana saya boleh menghuraikan sesuatu masalah? Apa lagi yang boleh saya pelajari dan bagaimana saya boleh belajar daripada rakan-rakan kerja saya?" katanya.

"Kita perlu memikirkan semula tentang pendidikan, bagaimana kita mempersiapkan anak-anak kita agar mempunyai asas pengetahuan untuk mampu menimba ilmu dan kemudian mewujudkan peluang-peluang baru. Sebab itulah kami mempunyai gerakan besar-besaran SkillsFuture - agar konsep pembelajaran sepanjang hayat bukan setakat satu slogan tetapi ia juga satu realiti."

Di forum WEF itu, Encik Heng disertai ahli-ahli panel lain - Lim Chow Kiat, Ketua Pegawai Eksekutif GIC, serta Profesor Suzanne Fortier, Pengetua dan Naib-Canselor Universiti McGill Kanada, dan Dion Weisler, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif HP Inc.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan