Images
  • chan chun sing masks
    (Gambar: Ooi Boon Keong)

S'pura bangunkan bekalan pelitup tetapi rakyat tidak boleh pandang mudah: Chan Chun Sing

SINGAPURA: Warga Singapura tidak boleh memandang mudah ketersediaan bekalan pelitup, tegas Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Khamis (21 Mei), sambil menekankan perlunya negara terus mempelbagaikan sumber pengeluarannya dan membangunkan bekalan stoknya untuk mencegah sebarang gangguan yang mungkin berlaku.

"Saya hanya mahu menekankan perkara ini: Tiada sesiapa yang tahu berapa lama dan meluas pandemik ini (COVID-19). Dan seseorang itu tidak sepatutnya berpuas hati tentang sebarang rantaian bekalan, termasuk pelitup. Bukan hanya untuk pelitup ... untuk makanan, bekalan perubatan dan sebagainya," kata Encik Chan.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan pihak media mengenai daya tahan negara dari segi bekalan pelitup. Encik Chan berada di Pusat Masyarakat Pek Kio, di mana beliau mengumumkan perincian agihan pelitup di seluruh negara.

Enam juta pelitup guna semula sudah disediakan untuk semua penduduk di Singapura, kata Encik Chan.

Pelitup baru itu, yang boleh didapatkan dari kesemua 109 kelab masyarakat dan 661 pusat jawatankuasa penduduk mulai 26 Mei, diperbuat daripada sekurang-kurangnya tiga lapisan bahan, dan menapis sekurang-kurangnya 95 peratus bakteria walaupun selepas 30 kali cucian.

Bercakap kepada pihak media, Encik Chan bercakap tentang bagaimana usaha penyimpanan bekalan pelitup di Singapura, termasuk N95, pelitup pembedahan dan pelitup guna semula, sudah "mencatat kemajuan".

PENGELUARAN DOMESTIK

Singapura juga membangunkan pengeluaran pelitup dalam negeri.

Sejak Februari, misalnya, firma kejuruteraan Singapore Technologies Engineering mula menghasilkan pelitup pembedahan gred perubatan.

Pelitup itu kemudian diuji cuba dan diagihkan ke hospital-hospital Singapura yang berada di barisan hadapan menentang COVID-19.

Pada April, Encik Chan berkata di Parlimen bahawa Singapura sedang membangunkan keupayaan pelitupnya sendiri, namun beliau tidak mendedahkan tahap keupayaan pengeluarannya.

Beliau menjelaskan mengapa beliau tidak berkongsi jumlahnya dengan pihak media pada Khamis.

"Kami tidak akan berkongsi jumlah tepat atas alasan keselamatan, kerana ini mempengaruhi bagaimana kami berunding untuk bekalan masa depan," kata Encik Chan. "Ada pihak mungkin tidak mahu menjual kepada anda, ada yang mungkin mahu ... ia bergantung."

Pelitup N95 dihasilkan di dalam negara untuk pekerja jagaan kesihatan dan untuk perlindungan dari jerebu, katanya, sebelum menyentuh tentang bekalan stok pelitup pembedahan.

"Untuk keperluan penjagaan kesihatan nasional, yang meliputi sektor swasta dan awam, kami agak selesa kerana kami telah menbangunkan stok, baik melalui sumber luar negeri mahupun melalui pengeluaran dalam negeri," katanya.

Beliau menambah bahawa stok pelitup pembedahan untuk penggunaan bukan jagaan kesihatan juga sedang dibangunkan, sambil menarik perhatian bahawa ketersediaan pelitup-pelitup itu di farmasi sudah stabil.

Usaha juga dilakukan untuk menyimpan stok pelitup guna semula, seperti yang telah diagihkan serta jenis baru, katanya.

Singapura bukan satu-satunya negara yang menyimpan stok pelitup guna semula, kata Encik Chan.

"Negara-negara lain telah melakukan hal yang sama, untuk mendapatkan pengeluar yang sama (pellitup ini)," katanya. Beliau tidak menamakan negara-negara tersebut.

Meskipun kemajuan telah dibuat dalam membangunkan stok bekalan pelitup, Encik Chan berkata bahawa Pemerintah tidak akan pernah "terlalu yakin".

"Kami telah mengunjurkan permintaan kami dan kemudian kami akan memastikan bahawa kami mempunyai bekalan mencukupi dari dalam negeri dan juga dari penyumberaan luar negeri."

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, kata Encik Chan, meneliti saluran bekalan Singapura "setiap hari untuk melihat apakah isu permintaan dan bekalan yang mungkin kami perlu hadapi dua hingga tiga bulan lagi".

Encik Chan juga berkata bahawa masyarakat umum harus menggunakan pelitup guna semula dan bukan pelitup pembedahan, yang harus disimpan untuk pekerja jagaan kesihatan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- TODAY/TQ/tq

Top