Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura bandar kedua paling selamat di dunia: Indeks EIU

Singapura adalah bandar kedua paling selamat di dunia, menurut indeks yang dikeluarkan Economist Intelligence Unit (EIU).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura bandar kedua paling selamat di dunia: Indeks EIU

Kawasan Marina Bay di Singapura. (Gambar hiasan: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 29 Aug 2019 02:57PM Dikemas Kini : 29 Aug 2019 03:00PM

SINGAPURA: Singapura adalah bandar kedua paling selamat di dunia, menurut indeks yang dikeluarkan Economist Intelligence Unit (EIU).

Edisi ketiga Indeks Bandar-Bandar Selamat itu dikeluarkan pada Khamis (29 Ogos) dengan Tokyo mengungguli senarai 60 bandar merentasi lima benua buat kali ketiga berturut-turut. Bandar-bandar Asia Pasifik lain dalam 10 tangga teratas adalah Osaka (ke-3), Sydney (ke-5), Seoul (ke-8) dan Melbourne (ke-10).

Prestasi bandar-bandar dinilai mengikut 57 penanda aras meliputi empat bidang - digital, prasarana, kesihatan dan keselamatan peribadi.

(Gambar: EIU)

Singapura menduduki tempat pertama di dunia bagi kedua-dua prasarana dan keselamatan peribadi tetapi berada di tangga kedua untuk keselamatan digital.

Tokyo mencatat prestasi paling kukuh dalam kategori keselamatan digital dan juga naik lapan tangga bagi kategori keselamatan prasarana berbanding edisi indeks sebelumnya pada 2017.

"Keseluruhannya, meskipun kekayaan adalah antara penentu utama keselamatan, tahap ketelusan dan urus tadbir seperti pendapatan sangat berkait rapat dengan mata indeks," kata editor kanan EIU Naka Kondo iaitu editor bagi laporan Indeks Bandar-Bandar Selamat tahun ini.

Kajian itu juga menunjukkan bagaimana jenis keselamatan yang berbeza juga saling berkait rapat, kata Cik Kondo, sambil menggariskan bahawa jarang sekali sesebuah bandar dengan keputusan baik dalam satu tunggak keselamatan, ketinggalan dalam aspek-aspek keselamatan lain.

Enam daripada 10 bandar paling selamat di dunia terletak di rantau Asia-Pasifik - bagaimanapun EIU menyatakan rantau yang menempatkan sesebuah bandar secara statistik tiada hubungan penting dengan prestasinya di dalam indeks berkenaan.

Cik Kondo menambah walaupun bandar-bandar Asia Pasifik mencatatkan prestasi baik dalam kategori-kategori jaminan kesihatan, keselamatan prasarana dan keselamatan peribadi, bandar-bandar Amerika Utara secara amnya menunjukkan keputusan lebih baik dalam keselamatan digital - membentuk tujuh daripada 10 bandar teratas bagi kategori tersebut.

Dalam edisi indeks pada 2017 dan 2015, Singapura juga menduduki tempat kedua buat kedua-dua kali.

Indeks Bandar-Bandar Selamat EIU 2019:

1. Tokyo
2. Singapore
3. Osaka
4. Amsterdam
5. Sydney
6. Toronto
7. Washington, DC
8. Copenhagen
9. Seoul
10. Melbourne 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan