S'pura, AS meterai perjanjian pertingkat kerjasama prasarana kewangan dan pasaran
Singapura dan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian untuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan prasarana kewangan serta pasaran, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (17 Okt).
SINGAPURA: Singapura dan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian untuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan prasarana kewangan serta pasaran, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (17 Okt).
Rangka kerja tersebut ditandatangani di Washington DC oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Kewangan Singapura, Indranee Rajah, dan Timbalan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Justin Muzinich.
Menurut kenyataan MOF: "Dengan membangunkan inisiatif yang lebih luas antara kedua-dua negara, perjanjian tersebut bertujuan untuk memudahkan pertukaran teknikal dan perkongsian maklumat bagi "menyokong serta memangkin pelaburan dalam prasarana".
Kementerian itu menambah: "Pelaksanaannya akan mengembangkan kerjasama ekonomi dua hala, menyokong perkembangan sektor prasarana di Asia Tenggara dan merancakkan pelaburan sektor swasta dalam prasarana".
Perjanjian berkenaan akan dilaksanakan oleh MOF, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) serta Penguasa Kewangan Singapura (MAS) selain agensi-agensi relevan yang lain di Singapura.
Amerika Syarikat adalah rakan kongsi niaga ketiga terbesar Singapura bagi barangan dan juga rakan kongsi terunggul dalam perkhidmatan. Ia juga merupakan pelabur langsung asing terbesar Singapura berdasarkan pelaburan negara.
Singapura pula adalah rakan kongsi perdagangan barangan dan perkhidmatan terbesar Amerika di Asia Tenggara dan juga pelabur keempat terbesar negara tersebut di Asia.
Pemeteraian perjanjian tersebut dilakukan di luar Menysuarat Menteri-Menteri Kewangan G20 dan Gabenor Bank Pusat serta Mesyuarat Tahunan 2019 antara Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan Kumpulan Bank Dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.