Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, AS jalin kerjasama dalam bidang baru, termasuk keselamatan siber & iklim, kata PM Lee

Amerika Syarikat dan Singapura sedang memasuki bidang kerjasama baru termasuk keselamatan siber, kerjasama iklim dan ekonomi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (23 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Aug 2021 03:38PM Dikemas Kini : 23 Aug 2021 09:18PM

SINGAPURA: Amerika Syarikat dan Singapura sedang memasuki bidang kerjasama baru termasuk keselamatan siber, kerjasama iklim dan ekonomi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (23 Ogos).

Kedua-dua negara juga akan bekerjasama dalam menangani pandemik dan dalam bidang angkasa lepas, katanya dalam sidang media bersama dengan Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris di Istana.

Cik Harris berada di Singapura bagi lawatan rasmi tiga hari, di mana beliau akan memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang. Beliau sebelum itu bertemu dengan Presiden Halimah Yacob dan mengadakan pertemuan peribadi dengan PM Lee serta para wakil dari kedua-dua negara.

Lawatan naib presiden itu menyusuli lawatan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin ke Singapura sebulan yang lalu, dengan Encik Lee mengatakan bahawa lawatan peringkat tinggi itu menekankan komitmen Amerika Syarikat terhadap rantau ini dan menunjukkan bahawa ia mempunyai "kepentingan strategi dan ekonomi" di Asia Tenggara.

PM Lee berkata beliau mengadakan perbincangan "sangat baik" dengan Cik Harris pada awal pagi tadi dan menarik perhatian bahawa mereka mengesahkan sekali lagi kerjasama "utuh dan panjang" antara Singapura dengan Amerika Syarikat.

"Saya juga menzahirkan penghargaan kami atas peranan aktif Amerika Syarikat di Asia Pasifik, terutama di Asia Tenggara, dan sokongan kami bersama bagi aturan antarabangsa yang stabil berdasarkan peraturan dan undang-undang di rantau ini, di mana semua negara dapat bekerjasama dan bersaing secara aman antara satu sama lain dan makmur bersama," katanya.

PM Lee berkata bahawa Singapura juga ingin menawarkan Pesawat tangki minyak berbilang fungsi Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) untuk membantu Amerika Syarikat sedang ia memindahkan para pelarian daripada Afghanistan.

KESELAMATAN SIBER

Sempena ulang tahun ke-55 hubungan Singapura-Amerika Syarikat, PM Lee berkata bahawa kedua-dua negara memeterai tiga perjanjian antara agensi siber, pertahanan dan kewangan.

Agensi-agensi itu akan memperkukuh kerjasama dalam teknologi penting, perlindungan prasarana kritikal, keselamatan data dan perkongsian amalan terbaik, menurut agensi-agensi yang terlibat.

Agensi-agensi itu juga akan bekerjasama dalam mengembangkan keupayaan siber serantau dan membincangkan dasar siber antarabangsa untuk menyokong aturan berbilang hala berdasarkan undang-undang di ruang siber.

KERJASAMA IKLIM DAN EKONOMI

PM Lee berkata Singapura dan Amerika Syarikat akan melancarkan kerjasama iklim dan inisiatif baru dalam pembangunan kapasiti Bandar Bijak.

Singapura dan Amerika Syarikat juga akan memulakan Kerjasama bagi Pertumbuhan dan Inovasi, kata PM Lee, sambil mengalu-alukan Dialog Rantaian Bekalan Amerika Syarikat-Singapura untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.

KERJASAMA PANDEMIK DAN ANGKASA

Beralih ke isu pandemik COVID-19, PM Lee berkata Singapura dan Amerika Syarikat akan meneruskan kerjasama dalam penjujukan genom dan perisikan epidemik.

Ini akan mempercepat usaha mengenal pasti varian baru COVID-19 serta ancaman penyakit yang baru muncul dan mempertingkat kesediaan serantau bagi epidemik semasa dan masa akan datang, katanya.

Akhir sekali, PM Lee berkata beliau berbesar hati melihat kedua-dua pihak bekerjasama dalam bidang angkasa lepas, yang beliau sifatkan sebagai "ambang seterusnya".

PM Lee menyifatkan bidang-bidang baru kerjasama sebagai "agenda besar" yang meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.

PM Lee berkata kerjasama ekonomi antara Singapura dengan Amerika Syarikat "dinamik dan terus berkembang maju". Beliau menarik perhatian kepada bagaimana Singapura merupakan pelabur Asia kedua terbesar di Amerika Syarikat, dengan pelaburan langsung sebanyak AS$65 bilion (S$88.45 bilion).

Menyentuh tentang pertahanan dan keselamatan, PM Lee berkata kedua-dua negara "bekerjasama dengan baik" dalam isu-isu rentas negara termasuk pengganasan, keselamatan siber dan antinuklear, sambil menyatakan bahawa Singapura mempunyai salah satu latihan asing terbesar di Amerika Syarikat.

"Saya yakin bahawa hubungan dua hala kita yang panjang dan merangkumi pelbagai aspek akan terus bertambah kukuh, dari tahun ke tahun," tambahnya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan