Images
  • solar panel singapore
    Panel suria digunakan untuk menjana bekalan cahaya di laluan pejalan kaki di Marina Bay menghadap pencakar langit Singapura. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

S'pura, AS bakal lancar kerjasama iklim; wujudkan peluang perniagaan dalam sektor pertumbuhan hijau

SINGAPURA: Amerika Syarikat (AS) dan Singapura bersetuju untuk menjalin kerjasama lebih baik dalam tindakan iklim, tadbir urus alam sekitar, pembangunan mampan dan huraian teknologi rendah karbon.

Kerjasama Iklim AS-Singapura itu akan "mewujudkan peluang bagi perniagaan dan pekerjaan" dalam sektor pertumbuhan mesra alam termasuk dalam peralihan tenaga, pembangunan prasarana tenaga bersih, pengangkutan dan inisiatif kewangan mampan serta pasaran kredit karbon bermutu. Demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Isnin (23 Ogos).

MTI bagaimanapun tidak menyatakan bilakah kerjasama itu akan dilancarkan.

Pengumuman itu dibuat ketika sempena lawatan rasmi Naib Presiden AS Kamala Harris ke Singapura.

Perubahan iklim adalah antara bidang kerjasama dua hala yang ingin diterokai Cik Harris, menurut para pegawai kanan pentadbiran AS. Selain itu, bidang-bidang lain termasuk respons kepada pandemik COVID-19, keselamatan siber, pertahanan dan perdagangan digital.

Pada Februari, Singapura mendedahkan Pelan Hijau 2030 yakni sebuah "gerakan seluruh negara" untuk memajukan pembangunan mampan. Satu bidang tumpuan adalah membangunkan ekonomi hijau untuk mewujudkan pekerjaan baru, mengubah industri dan menggunakan kemampanan sebagai satu faedah berdaya saing.

Pada Isnin, MTI menyifatkan perubahan iklim sebagai satu "cabaran sejagat genting" serta keutamaan penting bagi Singapura dan AS. Ia menyatakan kemampanan dan pertumbuhan ekonomi boleh "saling berkaitan".

"Kedua-dua negara menyokong usaha global untuk menangani cabaran utama ini dan amat komited untuk melaksanakan komitmen kami di bawah Perjanjian Paris serta mengambil tindakan iklim yang berani," menurutnya.

"Dengan memastikan kemampanan dalam ekonomi sejagat, kami boleh bekerjasama ke arah mencapai manfaat dan peluang lebih baik bagi Singapura, AS serta rantau ini."

Bidang-bidang kerjasama di bawah kerjasama itu termasuk inisiatif kewangan mampan, peralihan tenaga dan pasaran kredit karbon bermutu.

Kewangan mampan merangkumi penggunaan modal privet untuk membiayai prasarana mampan dan pengurusan risiko alam sekitaran dalam sektor kewangan manakala peralihan tenaga meliputi pengangkutan mampan.

Kerjasama itu juga boleh melibatkan rundingan pakar dari segi menetapkan piawai hijau dan pengurusan risiko kewangan sekitaran.

"Kedua-dua negara akan terus meneroka peluang untuk mengukuhkan kerjasama kami dalam lebih banyak bidang perubahan iklim serta ekonomi hijau seiring dengan kepentingan bersama kami," menurut MTI.

Singapura dan AS juga akan melancarkan dua program baru pada tahun depan untuk membantu bandar-bandar menjadi lebih mampan melalui pengurangan pelepasan gas karbon.

Program-program itu akan meningkatkan perkongsian pengetahuan dan kerjasama antara Singapura, AS dengan anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) melalui Rangkaian Bandar Bijak ASEAN, menurut Kementerian Ehwal Luar dalam kenyataannya pada Isnin.

"Meningkatkan huraian digital hijau juga akan memaksimumkan manfaat teknologi dari revolusi digital," jelas kementerian itu.

KERJASAMA DALAM PERDAGANGAN & PELABURAN; RESPONS PANDEMIK

Singapura dan AS juga bekerjasama untuk melancarkan Kerjasama bagi Pertumbuhan dan Inovasi yang baru, sebagai peluasan kepada memorandum persefahaman yang diperbaharui pada 2018, menurut MFA.

Kerjasama itu akan mengukuhkan kerjasama dua hala dan serantau dalam perdagangan dan pelaburan, bermula dengan bidang-bidang ekonomi digital, tenaga dan teknologi persekitaran, pengeluaran lanjutan dan jagaan kesihatan.

"Inisiatif ini melambangkan komitmen yang dikongsi bersama untuk mengukuhkan pertumbuhan dan daya inovasi dalam bidang-bidang ekonomi utama," menurut MFA.

"Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan dialog peringkat tinggi mengenai rantaian bekalan yang akan menghimpunkan pemimpin pemerintah dan industri untuk membincangkan cara mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan."

Singapura dan AS bersetuju untuk mencapai perbincangan yang muktamad berhubung kerjasama itu pada lewat tahun ini, menurut MFA.

Berkaitan respons kepada pandemik, MFA menyatakan Singapura dan AS akan meneroka kerjasama bagi meningkatkan tahap kesediaan serantau dan meningkatkan keupayaan menyeluruh bagi Asia Tenggara untuk mencegah, mengesan serta memberi respons kepada COVID-29 dan ancaman keselamatan kesihatan masa hadapan.

Ini meliputi bidang-bidang seperti risikan dan penjujukan wabak untuk mengenal pasti varian baru serta menyediakan amaran awal, tambah MFA. 

- CNA/FZ/fz

Top