Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura arah telur dari 1 lagi ladang M'sia ditarik balik akibat bakteria Salmonella

Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan beberapa pengimport untuk menarik balik telur dari Linggi Agriculture di Malaysia, setelah mengesan adanya Salmonella Enteritidis (SE) dalam produk tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan beberapa pengimport untuk menarik balik telur dari Linggi Agriculture di Malaysia, setelah mengesan adanya Salmonella Enteritidis (SE) dalam produk tersebut.

Ini kali kedua dalam masa seminggu SFA menarik balik telur dari ladang di Malaysia kerana pencemaran Salmonella Enteritidis.

Pada 12 Mac, penarikan balik diumumkan untuk telur dari Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram. Sejak itu pihak berkuasa Malaysia melancarkan siasatan terhadap syarikat itu.

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat (19 Mac), SFA menyatakan ladang Linggi Agriculture digantung operasi dan bahawa penggantungan tersebut akan ditarik balik hanya apabila ladang itu memperbaiki masalah pencemaran Salmonella Enteritidis.

Telur yang terjejas mempunyai kod "CEM014" yang tertera pada kulitnya. Pengimportnya ialah An Hong Egg Supplies, Chuan Huat Poultry Farm Pte Ltd, Dasoon Pte Ltd dan FE Supply Pte Ltd.

Orang ramai yang sudah membeli telur-telur terbabit kini disarankan untuk memasaknya dengan betul sebelum dimakan. Mereka yang memakan telur dan berasa tidak sihat harus mendapatkan rawatan perubatan, kata SFA.

SELAMAT DIMAKAN JIKA DIMASAK DENGAN BETUL

Salmonella Enteritidis boleh terdapat di dalam telur, begitu juga di kulit telur.

"Kerana SE dapat dimusnahkan oleh haba, telur selamat dimakan jika dimasak dengan sempurna," jelas SFA.

Bakteria boleh hidup dalam telur mentah dan yang tidak dimasak betul dan boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan. Gejala termasuk cirit-birit, sakit perut, demam, mual dan muntah.

Walaupun jangkitan SE biasanya reda dalam masa seminggu di kalangan kebanyakan orang, ia boleh menyebabkan jangkitan serius pada kumpulan rentan seperti warga emas, anak kecil dan mereka yang lemah sistem imun, tambah SFA.

Untuk mengurangkan risiko jangkitan, pengguna patut memastikan telur dimasak dengan sempurna sehingga putih telur dan kuning telur pekat, dan mengamalkan kebersihan yang betul untuk mengelakkan pencemaran dengan makanan lain.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan