Images
  • mask (2)
    (Gambar: Gaya Chandramohan)

S'pura akan terus kaji semula langkah tangani COVID-19: Lawrence Wong

SINGAPURA: Singapura "hanya berada pada permulaan satu perjuangan yang panjang" terhadap COVID-19, kata Menteri Pembangunan Negara, Lawrence Wong pada Rabu (25 Mac) sambil memberi amaran bahawa penularan itu mungkin berlarutan "beberapa bulan lagi mungkin hingga akhir tahun atau lebih".

Dalam satu kemas kini berhubung respons Pemerintah terhadap penularan virus korona itu di sini, Encik Wong menggariskan bagaimana negara telah mempergiat-langkah-langkah sejak beberapa minggu lalu. Ini akan dikaji secara tetap sedang Singapura kini berada pada "fasa kritikal" dalam memerangi jangkitan itu, katanya.

Selepas menyaksikan gelombang awal kes import dari China, Singapura kini menghadapi gelombang kedua kes import yang lebih besar dari seluruh dunia, terutamanya dari Amerika Syarikat dan Eropah.

Ini mencerminkan kepantasan penularan virus itu di luar China dan di seluruh dunia, Encik Wong memberitahu sidang Parlimen.

Beliau menambah, tidak dapat ditentukan berapa lama gelombang sekarang, terdiri dari warga Singapura yang baru pulang ke tanah air dan kes diimport akan berlanjutan kerana semakin ramai warga Singapura mungkin mahu pulang setelah lebih banyak negara mengumumkan sekatan perjalanan.

Kini seramai 38,000 orang dikenakan notis jangan keluar rumah di sini, dan jumlahnya akan bertambah dengan semakin ramai penduduk pulang ke Singapura, jelas beliau.

Sebagai tindak balas, Encik Wong menekankan bahawa Singapura telah membuat penyesuaian dengan pantas dan mengemas kini langkah-langkahnya.

JANGAN KELUAR NEGARA UNTUK ELAK GELOMBANG SUSULAN

Sedang Singapura bersedia untuk lebih ramai penduduk yang pulang dan lebih banyak kes diimport, Pemerintah juga tidak mahu warga Singapura keluar negara pada waktu ini demi mengelakkan gelombang kedua atau ketiga kes import, tegas beliau.

Lantas pemerintah menaikkan nasihat perjalanannya ke paras tertinggi minggu lalu, menggesa warga Singapura agar menangguhkan semua perjalanan ke luar negara dengan segera.

Turut diumumkan pada Selasa bahawa mereka yang tetap mahu melakukan perjalanan akan perlu membayar kos penuh hospital jika mereka dimasukkan bagi rawatan berkaitan COVID-19.

LANGKAH "SENTIASA DIKAJI"

Bagi membendung jangkitan tempatan, Encik Wong berkata masih penting untuk mengenal pasti dengan cepat dan mengasingkan kes-kes yang disahkan dan hubungan rapat mereka melalui pengesanan kontak dan kuarantin.

Sehingga Selasa malam, terdapat sekitar 2,500 orang yang dikuarantin, sama ada di rumah atau di kemudahan kuarantin Pemerintah. Beliau menambah, pihak berkuasa akan meneruskan "penguatkuasaan yang tegas" untuk kes kuarantin dan mereka yang diarahkan jangan keluar rumah.

Pemerintah turut prihatin terhadap jumlah jangkitan tempatan, terutamanya yang kaitannya dengan kes sebelum ini belum dikenal pasti. Memandangkan negara menyaksikan lebih banyak kes sebegitu, pelbagai langkah tambahan kesihatan awam untuk memperlahankan penyebaran virus itu dilaksanakan, katanya.

Meskipun langkah-langkah itu membawa beberapa perubahan, Singapura "perlu bergerak lebih pantas".

"SELAMATKAN NYAWA, TANGANI KESAN EKONOMI"

Encik Wong berkata inilah realiti yang dihadapi oleh negara-negara seluruh dunia dalam menentang COVID-19.

"Semakin kita cuba menghentikan atau memperlahankan penularan virus, semakin teruk ia menjejas ekonomi kita.

"Oleh itu, kita harus melakukan apa yang perlu dari sudut kesihatan awam terlebih dahulu - untuk menyelamatkan nyawa, memperlahankan penularan virus - dan selepas itu, lakukan yang terbaik untuk menangani kesan ekonomi," katanya.

Beliau mengambil perhatian bahawa langkah-langkah baru telah dikongsi bersama pasukan di Kementerian Kewangan yang akan mempertimbangkannya bagi pakej sokongan kedua yang akan diumumkan pada Khamis.

"Kami kini berada dalam fasa kritikal dalam memerangi virus ini," kata menteri tersebut, yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Kerja Berbilang Kementerian yang ditugaskan menangani wabak COVID-19 di sini.

PENGHARGAAN "TIDAK TERUNGKAP DENGAN KATA-KATA"

Dalam ucapannya, Encik Wong juga memberi penghormatan kepada para pekerja khidmat penjagaan kesihatan di barisan hadapan, para kakitangan awam dan pegawai-pegawai yang bekerja tanpa henti, serta wira-wira tidak didendang di pelbagai sektor seperti pembersihan, keselamatan, pengurusan lapangan terbang, media, hotel, F&B dan pengangkutan.

"Dan ada ramai warga Singapura yang tampil memainkan peranan masing-masing menjaga dan mengambil berat sesama warga Singapura," katanya dalam nada sebak.

Selepas mengambil sedikit masa untuk menenangkan diri, beliau menyambung: "Kata-kata tidak cukup untuk mengungkap penghargaan kepada begitu ramai warga Singapura yang berjuang berhabis-habisan menentang virus itu dan saya hanya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada setiap orang yang memainkan peranan mereka."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/TQ/tq

Top