Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura akan sumbang lebih 100,000 dos vaksin COVID-19 Pfizer kepada Johor, kata Menteri Besar

Pemerintah Singapura akan menyumbang lebih 100,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech ke negeri Johor, kata Menteri Besar Hasni Mohammad pada Isnin (6 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura akan sumbang lebih 100,000 dos vaksin COVID-19 Pfizer kepada Johor, kata Menteri Besar

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berucap semasa sidang DUN pada 6 Sep 2021 (Gambar: Pejabat Menteri Besar Johor)

Diterbitkan : 06 Sep 2021 12:57PM Dikemas Kini : 06 Sep 2021 01:02PM

JOHOR BAHRU: Pemerintah Singapura akan menyumbang lebih 100,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech ke negeri Johor, kata Menteri Besar Hasni Mohammad pada Isnin (6 Sep).

Menjawab pertanyaan di dewan undangan negeri mengenai bekalan vaksin, beliau berkata: "Sebagai tanda hubungan erat antara negeri Johor dengan Singapura, Pemerintah Singapura telah menyumbang 20,000 dos vaksin Sinovac pada 29 Julai 2021."

"Dalam masa terdekat, Pemerintah Singapura akan menyumbang 100,640 dos vaksin Pfizer kepada kerajaan negeri Johor," tambahnya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri telah menerima 300,000 dos vaksin SinoPharm yang disumbangkan oleh Amiriah Arab Bersatu.

Encik Hasni juga merakamkan penghargaan kepada mantan menteri luar Hishammuddin Hussein, atas usahanya dalam mendapatkan dan mempermudahkan proses menerima vaksin. Encik Hishammuddin kini memegang jawatan menteri pertahanan dalam Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Besar juga berkata di sidang DUN bahawa vaksin adalah "komponen utama" bagi strategi Johor keluar dari pandemik tersebut.

Oleh itu, kerajaan negeri telah menetapkan sasaran untuk memastikan bahawa 100 peratus penduduk dewasa akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 16 September dan kedua-dua suntikan menjelang minggu ketiga Oktober.

Menurut jawatankuasa bekalan vaksin Malaysia, 53.3 peratus penduduk dewasa Johor sudah lengkap divaksinasi setakat Ahad, manakala 84.3 peratus penduduk dewasanya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Encik Hasni menambah antara 1 Mac dengan 5 Sep, Johor telah menerima lebih 4.7 juta dos vaksin daripada program imunisasi nasional, di mana sekitar 2.4 juta dos adalah Pfizer, sekitar 1.8 juta adalah Sinovac dan sekitar 410,000 dos adalah AstraZeneca.

Pada 6 Jul, dilaporkan bahawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar telah menerima 20,000 dos vaksin Sinovac.

Ketika ditemu bual oleh Mediacorp pada 31 Mei, Menteri Besar Encik Hasni berkata bahawa kerajaan negeri ingin menambah bekalan vaksin Johor melalui pelbagai saluran, termasuk dengan mendapatkannya dari Singapura.

Johor adalah antara negeri yang secara konsisten melaporkan kes COVID-19 harian yang mencecah empat angka. Jumlah kes sepanjang 14 hari lalu adalah sekitar 28,000 di negeri selatan itu.

Malaysia mencatat 1.84 juta kes COVID-19 dan lebih 18,000 kematian sejak bermula pandemik itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan