Images
  • wanita diperkosa
    Gambar hiasan: Ngau Kai Yan

S'pura akan semak semula hukuman kesalahan seksual, pertimbang kesalahan baru

SINGAPURA: Hukuman bagi kesalahan seksual dan hukuman baru bagi jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak di Internet sedang disemak semula oleh pemerintah.

Demikian dedah Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-Undang K Shanmugam hari ini (27 Nov).

Menulis dalam satu catatan Facebook, Encik Shanmugam menyatakan bahawa Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) memberi perhatian untuk membantu kaum wanita yang menjadi mangsa serangan seksual dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Beliau menyebut pelbagai inisiatif yang diumumkan pada bulan Februari untuk melindungi para mangsa.

"Saya akan melakukan lebih banyak perubahan kepada undang-undang," kata Encik Shanmugam. "Tahun depan, kami akan mengorak langkah untuk menangani bagaimana wanita (antara lain) boleh disoal balas dalam kes-kes serangan seksual, bagaimana mereka boleh menyerahkan bukti di mahkamah dalam persekitaran yang selamat, serta beberapa perubahan lain."

"Saya berharap untuk menyemak semula isu-isu yang berkaitan dengan kes rogol dalam perkahwinan yang buat masa ini dianggap sebagai satu kesalahan hanya dalam keadaan-keadaan tetentu," tambahnya. "Kami sudahpun membuat beberapa perubahan pada 2007. Kami akan melihat jika ada lagi yang boleh dilakukan."

Tahun lalu, Singapura menyatakan bahawa ia giat berusaha untuk memansuhkan satu undang-undang yang mengecualikan seorang suami daripada dituduh merogol isterinya.

Encik Shanmugam juga menyatakan di Parlimen awal tahun ini bahawa ia sedang menyemak sama ada undang-undang pornografi kanak-kanak dan kesalahan seksual terhadap individu bawah umur, kini mencukupi.

Pengumuman Encik Shanmugam itu sejajar dengan kempen antarabangsa selama 16 hari sekarang ini untuk memupuk kesedaran terhadap keganasan berdasarkan jantina.

Ia bermula pada Sabtu lalu (25 Nov) iaitu Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan terhadap Wanita dan akan berlangsung hingga 10 Disember iaitu Hari Hak Asasi Manusia.  

- CNA/SM/sm

Top