Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura akan peruntuk S$400 juta untuk naik taraf, senggara longkang

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan benteng Singapura terhadap banjir, negara ini akan membelanjakan tambahan S$400 juta bagi menaik taraf dan menyenggara longkang dalam tempoh dua tahun mendatang.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura akan peruntuk S$400 juta untuk naik taraf, senggara longkang

Gambar fail Stamford Diversion Canal.

Diterbitkan : 17 Jul 2019 03:01PM Dikemas Kini : 17 Jul 2019 03:04PM

SINGAPURA: Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan benteng Singapura terhadap banjir, negara ini akan membelanjakan tambahan S$400 juta bagi menaik taraf dan menyenggara longkang dalam tempoh dua tahun mendatang. Demikian diumumkan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli pada Rabu (17 Jul).

Berucap di forum Rakan Kongsi bagi Sekitaran Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) 2019, Encik Masagos berkata Singapura masih terdedah kepada kesan-kesan perubahan iklim meskipun usaha terdahulu sudah dilaksanakan untuk melindungi alam sekitar dan meningkatkan daya tahan.

"Kita berterima kasih kepada para pemimpin perintis kita kerana meletakkan kita di kedudukan yang lebih baik namun keperluan segera terhadap cabaran alam sekitar tidak boleh dipandang ringan. Kita mesti terus jelas mengenai kelemahan Singapura sebagai sebuah pulau yang kecil dan rendah dengan tiada sumber semula jadi serta tiada kawasan pedalaman untuk berteduh andai paras air laut meningkat," jelas Encik Masagos.

Lantaran itu, kata beliau, terdapat keperluan untuk merancang, melabur dan melaksanakan huraian jangka panjang.
Singapura sudahpun membelanjakan kira-kira S$1.8 bilion untuk kerja-kerja pembaikan saliran dan ini termasuk Stamford Diversion Canal (Lencongan Terusan Stamford) dan Stamford Detention Tank (Tangki Penahanan Stamford), yang selesai pada tahun lalu.

"Dengan perancangan awal, kita dapat melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan tepat pada masanya, dengan kos pembiayaannya dapat ditampung selama beberapa tahun," kata Encik Masagos.

Memberi contoh kejadian ribut di Laut Utara pada 1953 yang menenggelamkan daik di Belanda dan mengakibatkan 1,800 kematian, Encik Masagos menyifatkannya sebagai kejadian "malang" kerana kajian saintifik yang dijalankan beberapa tahun sebelumnya sudahpun memberi amaran bahawa daik sedia ada di negara tu tidak berupaya menanganinya.

Beliau berkata: "Kita mesti bersiap sedia untuk membuat pelaburan yang sewajarnya untuk melindungi Singapura daripada kenaikan paras air laut dan, bagi prasarana penting, (melindunginya) daripada 'keadaan sangat buruk'."

SETIAP USAHA DIAMBIL KIRA

Encik Masagos juga menekankan bahawa perlu ada tindakan kolektif dan "kita perlu bekerjasama dengan syarikat-syarikat perusahaan, individu serta pertubuhan untuk menghasilkan huraian yang kreatif dan berkesan".

"Pemerintah sudahpun memulakan momentum untuk kita bertindak. Tetapi kita tidak boleh melakukan ini sendirian sahaja, "katanya.
"Seperti mana dikatakan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat bulan lepas, kita yakin dapat memperluaskan usaha demokrasi kita di mana rakyat Singapura menyumbang bukan saja buah fikiran mereka tetapi juga usaha mereka untuk membina masa depan kita."

Ini, terang Encik Masagos, termasuk para anggota masyarakat membuat pilihan mesra alam seperti mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai dan membeli peralatan yang kurang meninggalkan kesan terhadap alam sekitar.

Di samping itu, tambah beliau lagi, MEWR akan membentuk Kumpulan Kerja Rakyat menjelang September untuk bekerjasama dengan 50 warga Singapura bagi mencapai huraian untuk memperbaiki cara kitar semula dilakukan.

Kumpulan kerja itu akan meliputi rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang dan mereka akan diberi akses kepada maklumat yang relevan dengan dasar-dasar negara seperti tinjauan kitar semula penduduk.

"Kita memerlukan setiap rakyat untuk memainkan peranan mereka dan sebagai sebuah negara, mengatasi cabaran yang wujud daripada perubahan iklim yang boleh mengancam cara hidup kita," ujar Encik Masagos.

"Jika kita saling berganding bahu, kita akan dapat keluar daripada keadaan ini dan kita akan dapat mewariskan Singapura yang lebih berdaya tahan dan makmur untuk anak-anak, cucu dan generasi akan datang." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan