Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura akan pastikan ASEAN kekal sebagai kuasa dinamik

 Daya tahan dan inovasi akan menjadi tumpuan Singapura sebagai pengerusi ASEAN dalam dunia yang "pesat berubah", menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (14 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura akan pastikan ASEAN kekal sebagai kuasa dinamik
Diterbitkan : 14 Nov 2017 11:51PM Dikemas Kini : 14 Nov 2017 11:54PM

MANILA: Daya tahan dan inovasi akan menjadi tumpuan Singapura sebagai pengerusi ASEAN dalam dunia yang "pesat berubah", menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (14 Nov).

Ini untuk memastikan bahawa negara-negara ASEAN "kekal sebagai pemacu utama dan dinamik yang boleh menangani cabaran dan peluang".

PM Lee berkata demikian dalam satu upacara untuk menandakan berakhirnya sidang puncak ASEAN yang ke-31. Singapura akan mengambil alih peranan pengerusi ASEAN secara rasmi daripada Filipina pada Januari tahun depan.

Menurut PM Lee lagi, sebagai pengerusi tahun depan, Singapura akan menggalakkan dan berpegang teguh kepada pentadbiran berasaskan peraturan supaya ASEAN dapat menangani cabaran-cabaran keselamatan seperti keselamatan siber, jenayah rentas negara dan pengganasan, dengan lebih baik.

Penyepaduan ekonomi serantau yang berterusan dan bertambahnya ketersambungan serantau akan disertakan ke dalam agenda supaya ASEAN kekal "berdaya saing dan makmur". Selain itu, ASEAN juga diharap dapat terus mencari cara-cara inovatif untuk memanfaatkan teknologi digital dan melengkapkan rakyat dengan kemahiran dan kebolehan.

Di bawah pimpinan Singapura, ASEAN juga akan terus membina hubungan dengan rakan-rakan luar, kata PM Lee. Beliau turut menambah bahawa ASEAN akan mengadakan sidang puncak khas di Australia dan India.

Dalam pada itu, persatuan serantau itu akan menyambut ulang tahun hubungan ASEAN-Jepun yang ke-45, selain ulang tahun ke-25 Forum Rantauan ASEAN.

Dalam sebuah video yang ditayangkan semasa upacara penyerahan tanggungjawab, Singapura membentangkan matlamat-matlamatnya dan mendedahkan lambang sempena pimpinannya tahun depan. Lambang itu memaparkan kesemua ibu kota anggota ASEAN dihubungkan Ini bagi menunjukkan "daya tahan bersama sebuah rangkaian ASEAN yang menuju ke matlamat yang sama," menurut Kementerian Ehwal Luar.

Sebagai negara penyelaras bagi dialog hubungan ASEAN-China, Singapura akan terus menggalakkan kerjasama rapat antara kedua-dua pihak. Ini termasuk inisiatif untuk menyambut ulang tahun yang ke-15 Hubungan Strategik ASEAN-China, kata PM Lee.

Singapura akan terus meningkatkan kerjasama yang diterajui ASEAN itu, tambahnya.

FILIPINA BANTU ASEAN UNTUK DALAMI HUBUNGAN

Merujuk kepada perkembangan ASEAN sepanjang tahun ini, PM Lee berkata bahawa ia menyambut langkah ASEAN menjadi satu Masyarakat. Beliau merujuk kepada Visi Masyarakat ASEAN 2025, iaitu satu perancangan yang membentangkan langkah-langkah yang akan diambil para anggota untuk mencapai keselamatan politik, kerjasama ekonomi dan perpaduan sosio-budaya dengan bekerjasama.

Ketika menerima peranan sebagai pengerusi, PM Lee mengucap tahniah kepada Presiden Filipina, Rodrigo Duterte atas kejayaan negaranya dalam tempoh yang baru berlalu dan juga pencapaian-pencapaiannya sebagai pengerusi.

Ini termasuk menyiapkan rangka kerja Kod Tatalaku bagi Pihak-Pihak yang terlibat dalam perundingan Lautan Selatan China, memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas antara ASEAN dengan Hong Kong yang mengambil masa tiga tahun dan penyerapan Persetujuan ASEAN dalam Perlindungan dan Penggalakkan Hak Pekerja Asing.

Filipina membawa ASEAN ke arah hubungan yang lebih mendalam dengan tema "Bekerjasama demi Perubahan, Melibatkan Dunia", tambahnya.

PM Lee juga mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Ming dan kakitangannya dalam Sekretariat itu atas bakti mereka dalam membantu menjalankan mesyuarat-mesyuarat ASEAN memenuhi agendanya. Dalam pada itu, beliau juga menyambut Setiausaha Agung Lim Jock Hoi yang menyandang jawatan sebagai Setiausaha Tetap Brunei dalam Kementerian Ehwal Luar dan Perdagangan.

Singapura berbesar hati untuk menerima peranan sebagai pengerusi ASEAN dari "tuan rumah kami yang sangat baik, Filipina," katanya sambil menambah bahawa Singapura mengalu-alukan kerjasama rapat dengan Setiausaha Agung dan Sekretariat demi mengukuhkan lagi usaha membina Masyarakat ASEAN.

Beliau berkata: "Sebagai Pengerusi ASEAN yang seterusnya, Singapura berharap akan dapat meneruskan usaha-usaha baik yang dijalankan Pengerusi-Pengerusi sebelumnya dan meneruskan langkah integrasi kami untuk membina Masyarakat yang rapat yang dapat memanfaatkan rakyat-rakyat kami."

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan