Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura akan lancar Pelan Hijau berbilang kementerian bagi tangani cabaran perubahan iklim

Bagi menangani perubahan iklim dan menggalak kemampanan, Singapura tidak lama lagi akan melancarkan Pelan Hijau yang akan menjadi keutamaan dasar penting Pemerintah, menurut Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu di Parlimen pada Isnin (1 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura akan lancar Pelan Hijau berbilang kementerian bagi tangani cabaran perubahan iklim

Gambar fail: Diane Leow

Diterbitkan : 01 Feb 2021 10:38PM Dikemas Kini : 01 Feb 2021 10:50PM

SINGAPURA: Bagi menangani perubahan iklim dan menggalak kemampanan, Singapura tidak lama lagi akan melancarkan Pelan Hijau yang akan menjadi keutamaan dasar penting Pemerintah, menurut Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu di Parlimen pada Isnin (1 Feb).

Pelan Hijau Singapura 2030 adalah usaha berbilang kementerian, menurut Cik Fu, sambil menambah bahawa agensi-agensi pemerintah akan menetapkan "sasaran bercita-cita tinggi dan kukuh berdasarkan sektor," sekali gus membangunkan lagi apa yang sudah dikecapi sejauh ini.

"Kami mahu berganding bahu dan bekerjasama dengan rakan-rakan 3P dengan menyatakan keutamaan dan matlamat kami dan kami akan terus mewujudkan ruang untuk masyarakat saling bekerjasama," menurutnya, sambil merujuk kepada para individu, orang awam dan sektor swasta.

"Para menteri dan penyandang jawatan politik akan terlibat secara aktif dalam pembangunan program-program yang menyeluruh sebagai sebahagian daripada proses pendampingan peringkat nasional," tambahnya.

"Ia bukan setakat mendapatkan maklum balas mengenai dasar-dasar pemerintah, tetapi bekerjasama untuk mewujudkan huraian secara bersama. Setiap sektor dan setiap tindakan, adalah penting. Menerusi proses ini, kami berharap dapat menjadi pemangkin kepada tindakan berani, seimbang dan kolektif.

"Berani - dari semua aspek, mencabar diri masing-masing untuk melakukan lebih lagi, walaupun dengan keadaan dan kekangan negara kita. Seimbang - kerana kita tahu bahawa dengan setiap tindakan dan sasaran, pasti terdapat pertimbangan dan pengorbanan yang mesti dilakukan dan setiap rakyat Singapura mesti mempunyai suara dan kepentingan dalam perjalanan kelestarian kita. Dan secara kolektif - kerana kita memerlukan semua pihak, kesemua 3P, semua segmen masyarakat untuk bekerjasama dengan kita bagi merealisasikan Pelan Hijau ini."

Cik Fu berkata demikian sebagai respons terhadap usulan mengenai perubahan iklim yang diajukan oleh sekumpulan Anggota Parlimen dan beliau turut mendedahkan bahawa pemerintah sudah membuat persiapan sejak beberapa bulan lalu untuk melancarkan "gerakan seluruh negara" bagi memajukan agenda kelestarian di Singapura.

Lebih banyak butiran akan diumumkan dalam masa beberapa minggu mendatang, katanya, dengan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dijadual menyampaikan ucapan mengenai agenda kemampanan pemerintah semasa perbahasan Belanjawan 2021 kelak.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan