Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura akan bina dormitori baru, tingkatkan taraf kehidupan pekerja asing

Pemerintah akan membina dormitori baru untuk pekerja asing dan membaik pulih hartanah milik pemerintah yang tidak digunakan sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mengurangkan kesesakan dalam dormitori sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura akan bina dormitori baru, tingkatkan taraf kehidupan pekerja asing

Pekerja asing di Tuas View Dormitori pada 6 Mei. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 01 Jun 2020 08:28PM Dikemas Kini : 01 Jun 2020 08:35PM

SINGAPURA: Pemerintah akan membina dormitori baru untuk pekerja asing dan membaik pulih hartanah milik pemerintah yang tidak digunakan sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mengurangkan kesesakan dalam dormitori sekarang.

Menjelang hujung tahun ini, pihak berkuasa akan menyiapkan ruang tambahan bagi menempatkan sekitar 60,000 pekerja, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan bersama pada Isnin (1 Jun).

Ini termasuk dormitori bina pantas (QBD) yang boleh dibangunkan dalam masa yang pendek, dalam bentuk modular dengan kepadatan yang rendah. Dormitori QBD boleh bertahan selama sekitar dua hingga tiga tahun dan boleh menampung sekitar 25,000 orang secara keseluruhan.

Lapan tapak dikenal pasti bagi projek QBD baru menjelang hujung 2020, termasuk di Kranji, Tuas, Admiralty, Choa Chu Kang dan Tampines.

Hartanah milik pemerintah yang tidak digunakan sekarang, termasuk bekas bangunan sekolah dan kilang kosong akan dibaik pulih untuk menampung sekitar 25,000 pekerja dan pihak berkuasa sedang berunding dengan syarikat kontraktor untuk membina lebih banyak kuarters binaan sementara iaitu dormitori sementara bagi menempatkan pekerja dekat dengan tempat kerja mereka.

Beberapa hartanah yang akan dibaik pulih termasuk bekas bangunan Sekolah Menengah Bedok North, bekas hostel Maktab Rendah Anderson dan kem tentera di National Service Resort and Country Club di Kranji.

Sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang pula, Pemerintah merancang untuk membina dormitori dibina khas (PBD) baru sepanjang beberapa tahun akan datang yang boleh menempatkan sehingga 100,000 pekerja. Dormitori tersebut akan mempunyai kemudahan seperti kedai runcit dan khidmat menggunting rambut. Ia akan menggantikan tempat penginapan sementara yang dibina pada tahun ini.

Sekitar 11 PBD akan siap dibina dalam tempoh "satu atau dua tahun akan datang", menurut kenyataan media itu. Pekerja yang tinggal di dormitori tersebut juga akan mendapat akses kepada rawatan dan sokongan perubatan.

"Dengan PBD tambahan ini, kami juga akan mempunyai kapasiti untuk memindahkan buat sementara waktu pekerja asing dari dormitori sedia ada, dan menjalankan kerja-kerja naik taraf kepada dormitori itu bagi memastikan ia memenuhi piawai baru," menurut MND dan MOM.

Selain daripada menambah jumlah tempat tinggal bagi pekerja asing, agensi-agensi pemerintah sedang menghasilkan satu set spesifikasi bagi dormitori baru itu, menurut kedua-dua agensi itu lagi.

Ia akan meliputi aspek reka bentuk, kemudahan, pengurusan dan pengawalselia dormitori tersebut dengan mengambil kira faktor seperti keperluan sosial dan respons terhadap penyakit.

"Bagi Singapura, yang mana bekalan tanah adalah terhad, penginapan dormitori adalah pendekatan praktikal untuk menempatkan pekerja asing kita," menurut kenyataan media itu lagi.

"Kami mahu menjadikan reka bentuk dan kehidupan di dormitori lebih berdaya tahan kepada risiko kesihatan awam termasuk pandemik, dengan taraf hidup yang dipertingkatkan setaraf dengan mutu hidup di dalam negeri mahu pun peringkat antarabangsa.

"Kami akan mengambil kira pengalaman daripada pandemik COVID-19 sekarang ini, dan juga maklum balas daripada pihak berkepentingan yang relevan."

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan