Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura akan belanja berbilion dolar bagi khidmat ruang udara

Singapura menjangka akan membelanjakan beberapa bilion dolar dalam tempoh beberapa dekad akan datang, untuk terus menyediakan perkhidmatan trafik udara bermutu tinggi yang selamat dan cekap, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Khamis (16 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 May 2019 05:03PM Dikemas Kini : 16 May 2019 11:12PM

BEIJING: Singapura menjangka akan membelanjakan beberapa bilion dolar dalam tempoh beberapa dekad akan datang, untuk terus menyediakan perkhidmatan trafik udara bermutu tinggi yang selamat dan cekap, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Khamis (16 Mei).

Berucap di Forum Pembangunan Penerbangan Awam di Beijing, Encik Khaw berkata bahawa Singapura menguruskan lalu lintas udara di salah satu ruang udara paling rumit di dunia. Lantaran itu, negara ini membuat pelaburan besar dalam keupayaannya menguruskan lalu lintas udara.

KEUPAYAAN S'PURA SENTIASA DIPERBAHARUI

Memberi contoh, Encik Khaw merujuk kepada sistem pengurusan lalu lintas udara sedia ada Singapura yang berharga lebih S$300 juta.

Beliau berkata walaupun sistem itu hanya mula digunakan pada 2013, Singapura sudah mula membangunkan sistem generasi akan datang agar tidak ketinggalan.

"Dalam beberapa dekad akan datang, kami menjangka akan membelanjakan beberapa bilion dolar untuk terus menyediakan khidmat trafik udara bertaraf paling tinggi dari sudut keselamatan dan kecekapan," katanya.

Selain perkakasan, negara ini juga banyak melabur dalam pengambilan dan latihan pengawal trafik udara.

"Ini suatu kerjaya yang banyak memerlukan buruh dan kemahiran," Encik Khaw menerangkan.

Singapura perlu mengerahkan 700 pengawal trafik udara yang menjalani kursus-kursus khas serta latihan di tempat kerja dalam persekitaran operasi sebenar.

Simulator Aerodrome baru di Akademi Penerbangan Singapura juga dilancarkan baru-baru ini, membolehkan jurulatih meniru situasi yang tidak dirancang untuk melatih para pengawal untuk menangani situasi yang mencabar.

Singapura turut bekerjasama dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa untuk menyediakan kursus sedemikian bagi para karyawan dari negara-negara anggota lain.

RUANG UDARA LEBIH BERSEPADU

Encik Khaw juga menyeru agar kecekapan operasi pengurusan ruang udara dipertingkat.

Beliau menarik perhatian bahawa pengurusan lalu lintas udara hari ini sebahagian besarnya berpecah. Ini menyebabkan ketidakcekapan, masa penerbangan yang lebih lama dan kos yang lebih tinggi untuk syarikat penerbangan.

"Untuk merealisasikan sepenuhnya manfaat pertumbuhan trafik udara, kita perlu memikirkan semula aturan sedia ada," kata Encik Khaw.

"Di sinilah para pemimpin perlu membuka jalan dalam menyepadukan ruang udara dan mengoptimumkan penggunaannya."

Misalnya, pemimpin dari Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sudah mendakapi visi ASEAN Sky yang bersepadu.

Ini merujuk kepada blok ruang udara dengan tatacara dan operasi yang berselaras dan saling beroperasi.

Apabila dilaksanakan sepenuhnya, kata Encik Khaw, peningkatan kapasiti ruang udara, penurunan kos, kekurangan kelengahan penerbangan dan peningkatan keselamatan pengurusan lalu lintas udara akan "bertambah berbilang ganda".

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan