Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura akan bantu negara-negara kecil dalam transformasi digital, pemulihan COVID-19: Vivian Balakrishnan

Dari 2022 hingga 2023, Singapura akan mengendalikan program-program untuk membantu negara-negara kecil dengan perubahan digital dan pemulihan COVID-19, kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada Sabtu (25 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura akan bantu negara-negara kecil dalam transformasi digital, pemulihan COVID-19: Vivian Balakrishnan

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 26 Sep 2021 04:33PM Dikemas Kini : 26 Sep 2021 04:35PM

SINGAPURA: Dari 2022 hingga 2023, Singapura akan mengendalikan program-program untuk membantu negara-negara kecil dengan perubahan digital dan pemulihan COVID-19, kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada Sabtu (25 Sep).

Program di bawah inisiatif FOSS For Good akan meliputi tema seperti perubahan digital, ekonomi digital dan negara bijak. Isu-isu seperti kesediaan pandemik dan perubahan pendidikan mungkin disertakan.

FOSS merujuk kepada Forum Negara-Negara Kecil, yang ditubuhkan Singapura pada 1992 sebagai sebuah wadah informal bagi negara-negara kecil untuk membincangkan isu-isu yang menjadi keprihatinan bersama. FOSS kini mempunyai 108 anggota dalam PBB.

Dr Balakrishnan kini berada di Amerika Syarikat untuk menyampaikan kenyataan Singapura di UNGA, sebelum berlepas ke Washington sehingga Rabu (29 Sep) bagi lawatan kerja, di mana beliau akan bertemu dengan pegawai kanan pentadbiran Presiden AS Joe Biden dan anggota Kongres.

Menerusi FOSS for Good, pegawai dari negara-negara anggota FOSS boleh mengambil bahagian dalam program eksekutif atau program khusus untuk berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan huraian bagi menangani cabaran bersama.

Program-program eksekutif disasarkan bagi pegawai kanan dan akan memberi tumpuan kepada kepimpinan dan pentadbiran, strategi penggubalan dasar dan rangka kerja serta bidang disiplin yang lain.

Para pegawai juga boleh mengadakan perbincangan interaktif bersama pemegang jawatan politik di Singapura dan pemimpin kanan perkhidmatan awam. Program-program eksekutif itu akan diadakan sekali pada 2022 dan 2023.

Program khusus pula ditawarkan kepada pegawai peringkat pertengahan hingga kanan, dengan tumpuannya terhadap topik-topik khusus yang menangani keperluan pembangunan dan cabaran yang dihadapi negara-negara anggota FOSS. Ia akan diadakan dua atau tiga kali setahun.

FOSS for Good diadakan sejajar dengan seruan Singapura bagi diwujudkan sebuah rangka kerja global untuk mengatasi cabaran atau mempertingkat peluang berkaitan pendigitalan.

Dr Balakrishnan kemudian memberitahu wartawan bahawa "revolusi digital" merupakan salah satu isu yang dibincangkan di UNGA, dengan kesannya pada pekerjaan, ekonomi dan hubungan antara negara.

"Terdapat banyak tumpuan dalam usaha untuk cuba menangani jurang digital, tentang bagaimana untuk mengumpul dan menggembleng dana bagi infrastruktur digital," katanya.

"Dan kemudian, soal kemahiran, latihan semula, pendidikan supaya penduduk mempunyai keupayaan sewajarnya untuk memanfaatkan peluang yang muncul dari Internet." 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan