Images
  • tpe-pie changi
    Jurutera mengaku tahu kesilapan rekaan, rekahan struktur sebelum kemalangan. (Gambar: Gaya Chandramohan) 

Runtuhan jejambat PIE: Jurutera dihukum penjara 86 minggu, denda S$10,000

SINGAPURA: Seorang jurutera yang menyelia kerja-kerja binaan dan tidak melaporkan kelemahan reka bentuk dan keretakan yang muncul sewaktu pembinaan jejambat dijatuhi hukuman penjara 86 minggu atau satu tahun dan sembilan bulan, dan denda S$10,000 hari ini (2 Dis).

Sebahagian daripada jejambat daripada Ekspreswe Tampines ke Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) dan Upper Changi Road runtuh pada awal pagi 14 Julai 2017, dan 11 pekerja yang berada di bahagian atas struktur itu terjatuh kira-kira sembilan meter ke bawah. Seorang pekerja maut, manakala yang lain cedera.

Robert Arianto Tjandra, 46 tahun, dijatuhi hukuman itu hari ini setelah mengaku bersalah bulan lalu terhadap tiga tuduhan iaitu melakukan tindakan terburu-buru yang membahayakan keselamatan orang lain di tempat kerja, gagal mengambil semua langkah wajar bagi memastikan kerja binaan selaras dengan peraturan, dan memberikan kebenaran melaksanakan kerja binaan tanpa kelulusan.

Dua lagi tuduhan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Pasukan pendakwa raya meminta hukuman penjara sekurang-kurangnya 22 bulan dan denda sekurang-kurangnya S$10,000.

Mereka menarik perhatian kepada perbuatan lalai Tjandra termasuk kegagalannya untuk mengambil kira pasukannya yang kurang pengalaman dalam reka bentuk jambatan, kegagalan untuk memberi pasukannya panduan atau arahan berhubung cara betul atau ukuran lebar yang betul untuk digunakan dalam rekaan struktur sokongan, dan mengabaikan ukuran reka bentuk struktur sokongan itu sendiri.

Lima orang dan kontraktor utama syarikat binaan Or Kim Peow Contractors didakwa atas pelibatan mereka dalam kes itu.

OKP didenda S$10,000 pada Julai kerana menjalankan kerja-kerja pengukuhan terhadap struktur sokongan jejambat itu tanpa kebenaran tetapi berniat mencabar satu lagi dakwaan bagi kematian dan kecederaan yang disebabkan keruntuhan itu.

Jurutera Leong Sow Hon pula dipenjara enam bulan pada Julai kerana gagal memastikan struktur sokongan jejambat itu kukuh.

Kes-kes lain masih menanti perbicaraan.

- CNA/HA/ha

Top