Images

Rundingan kenaikan gaji pekerja sektor keselamatan, landskap, lif & tangga bergerak selesai tidak lama lagi

SINGAPURA: Pekerja dalam sektor keselamatan, landskap serta lif dan tangga bergerak bakal menikmati kenaikan gaji tidak lama lagi di bawah model gaji progresif. Rakan-rakan kerja perikatan tiga pihak "yakin" rundingan dapat diselesaikan dalam beberapa bulan mendatang.

Demikian menurut Menteri Tenaga Manusia (MOM) Tan See Leng.

Dalam taklimat media mengenai model gaji progresif (PWM) pada Khamis (10 Jun), Encik Tan berkata saranan bagi tiga sektor itu kini sedang dalam proses dan kelompok perikatan tiga pihak yang baru ditubuhkan bagi perkhidmatan makanan, runcit serta pengurusan sisa juga sedang membuat kemajuan.

"Kumpulan kerja perikatan tiga pihak mengenai pekerja bergaji rendah sedang meninjau cara untuk merangkumkan pelbagai kumpulan pekerjaan di bawah gaji progresif dan ini akan memanfaatkanpekerja bergaji rendah yang digajikan dalam pekerjaan serupa di pelbagai sektor," kata beliau. Encik Tan menambah kumpulan kerja itu akan berkongsi lebih banyak tentang rancangan itu tidak lama lagi.

Perkembangan itu diumumkan sehari selepas Pemerintah menerima saranan oleh Kelompok Perikatan Tiga Pihak bagi Pekerja Pembersihan (TOC) untuk menaikkan gaji pekerja pembersihan setiap tahun sepanjang enam tahun dari 2023, di bawah model gaji progresif.

Ia adalah semakan gaji yang pertama sejak kumpulan kerja itu dilancarkan pada Oktober tahun lalu untuk meninjau gaji pekerja berpendapatan rendah dan menambah baik kesejahteraan mereka.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, yang mempengerusikan kumpulan kerja itu, berkata garis masa untuk melaksanakan kenaikan gaji itu akan memberi majikan masa untuk membuat penyesuaian.

“Mereka ada banyak tanggungjawab kontrak yang biasanya berjalan dua hingga tiga tahun jadi anda harus juga berlaku adil dengan industri tersebut untuk membuat penyesuaian kerana mereka sudah membayar gaji bagi kontrak sedia ada," kata Encik Zaqy.

“Dengan jadual waktu enam tahun itu juga pembeli dan penyedia khidmat lebih jelas tentang kenaikan kos gaji supaya mereka boleh merancang bagi jangka panjang dan syarikat pembersihan juga kini boleh mengambil kira kenaikan gaji dalam kontrak bagi tahun-tahun berikutnya," tambah beliau.

Encik Zaqy memberi jaminan gaji pekerja pembersihan akan terus naik dari sekarang hingga 2023 di bawa aturan sedia ada yang menetapkan kenaikan tahunan sebanyak tiga peratus setiap tahun.

Semasa taklimat itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Ng Chee Meng menjelaskan cabaran di sebalik melaksanakan model gaji progresif bagi pelbagai sektor.

"Ini adalah satu perjalanan amat sukar... tidak semudah dasar menyeluruh yang menentukan ini adalah gajinya tetapi ia memberi ekosistem satu landasan yang mampan yang akan memberi manfaat serta mewujudkan keadaan saling menguntungkan bagi kedua-dua pihak pekerja dan majikan," ujar beliau.

Apabila ditanya mengapa model tersebut mengambil masa yang panjang untuk dilaksanakan, Encik Ng berkata proses bagi model itu memerlukan lebih banyak pelibatan yang boleh memakan masa.

“Jika anda menetapkan (gaji) terlalu tinggi, pekerja mungkin diberhentikan, kehilangan pekerjaan kerana perniagaan tidak boleh menampung kos, mereka akan keluar atau sekalipun jika mereka tidak keluar, pekerja mungkin kehilangan pekerjaan mereka," tambahnya.

“Jika anda menetapkannya terlalu rendah, ia sebenarnya menjadi had gaji bagi pekerja. Jika daya penghasilan saya sepatutnya menerima S$20 atau S$25 sejam dan kami salah, seperti kebanyakan amalan gaji minimun apabila ia ditetapkan terlalu rendah, maka sebenarnya, ia menjadi satu siling gaji. Ini yang saya sebutkan.... sebagai kelemahan aturan gaji minimum."

Menjawab soalan tentang bagaimana kenaikan gaji - yang hanya dikenakan kepada rakyat dan penduduk tetap Singapura - mungkin boleh mendorong majikan untuk mengambil pekerja asing bagi mengurangkan kos tenaga kerja, Encik Tan berkata langkah sedia ada seperti kuota pengambilan pekerja dan keperluan gaji kelayakan sudah dilaksanakan.

PERBEZAAN PWM DAN GAJI MINIMUM

Buat masa ini, model gaji progresif adalah wajib bagi industri pembersihan, keselamatan dan landskap. Ia dilakar untuk menaikkan gaji pekerja berpendapatan rendah dengan menaik taraf kemahiran serta meningkatkan daya penghasilan mereka.

Semasa taklimat itu, Encik Zaqy membandingkan model gaji progresif Singapura dengan sistem gaji minimum yang dilaksanakan di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK). Beliau berkata model gaji progresif membawa kepada peningkatan gaji yang berterusan di Singapura selama hampir sedekad.

Sistem gaji minimum yang dilaksanakan di AS sebaliknya kekal pada AS$7.25 (S$22.90) setiap jam sejak 2009 akibat "perbalahan politik", ujar beliau.

Encik Zaqy menambah meskipun UK menaikkan gaji minimumnya, negara itu juga menyaksikan peningkatan ketara dalam kontrak sifar jam di mana majikan tidak dipertanggungjawabkan untuk menyediakan sebarang waktu kerja minimum dan pekerja pula tidak perlu menerima sebarang kerja yang ditawarkan.

“Pemerintah tidak menentang gaji minimum. Bahkan, kami sudahpun mengambil beberapa bahagian ini dalam inovasi sosial kami kerana kami mengambil amalan terbaik daripada apa yang kami lihat di luar sana," katanya.

PERNIAGAAN, PENGGUNA HARUS MAIN PERANAN

Sedang model gaji progresif diluaskan untuk meliputi lebih banyak sektor, perniagaan harus terus berubah menerusi automasi dan mereka semula pekerjaan untuk membantu meningkatkan gaji pekerja mereka, kata Dr Robert Yap, Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF).

Beliau menambah pekerja juga perlu meningkatkan kemahiran untuk kekal relevan dan memastikan peluang maju dalam tangga kerjaya mereka.

Encik Zaqy menambah Pemerintah akan terus membantu menanggung sesetengah kenaikan kos melalui tokokan gaji seperti Skin Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS). Ini bagi memastikan kesan daripada kenaikan kos tidak hanya ditanggung oleh perniagaan atau pengguna. Masyarakat juga harus bersedia untuk memainkan peranan mereka, ujar beliau.

“Ini benar-benar tentang menangani ketidaksamarataan sosial... Sebagai sebuah negara maju dan matang seperti Singapura, kita memerlukan masyarakat untuk tampil ke hadapan," ungkapnya.

“Untuk kita mengatakan... kita mahu menjaga pekerja bergaji rendah tetapi tidak membayar mereka gaji yang setimpal, tidak menyokong mereka sebagai sebuah masyarakat, ia tidak boleh diteruskan buat begitu lama," tambah beliau.

“Dalam hal ini, masyarakat perlu menghulurkan sokongan kepada pekerja bergaji rendah. Kita perlu membayar lebih sedikit tetapi saya rasa jika kita tahu, jauh di dalam sanubari kita bahawa langkah itu menyokong, mendorong dan memberi pengiktirafan kepada pekerja bergaji rendah kita, pekerja penting kita bagi tugasan yang mereka lakukan. Ia adalah sesuatu yang kita harus bersedia untuk menyokong sebagai sebuah masyarakat." 

- CNA/FZ/tq

Top