Images
  • istana sg
    (Gambar: Mediacorp)

Rumah Terbuka Istana pada 13 Mei dibatalkan sedang kes tempatan COVID-19 meningkat

SINGAPURA: Rumah Terbuka Istana yang dijadual pada 13 Mei akan dibatalkan, menurut Pejabat Presiden pada Selasa (4 Mei).

Pembatalan itu dibuat hanya seminggu selepas acara itu yang merupakan rumah terbuka gabungan sempena Hari Buruh dan Hari Raya Puasa, diumumkan sebagai sebahagian daripada pelonggaran lanjut langkah-langkah COVID-19 dalam fasa 3 pembukaan semula Singapura.

Pada awal minggu ini, peningkatan jumlah kes jangkitan tempatan termasuk kes-kes terkait kelompok Hospital Tan Tock Seng, menyebabkan pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 mengeluarkan nasihat menyeru agar interaksi sosial dalam masyarakat dikurangkan.

"Dengan situasi COVID-19 bertambah stabil dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kami sebelum ini merancang untuk membuka semula Istana kepada orang awam secara berperingkat, bermula dengan Rumah Terbuka Istana pada Mei," menurut Pejabat Presiden dalam satu kenyataan media.

Namun dengan kenaikan dalam jumlah kes jangkitan tempatan, pejabat itu menyatakan bahawa ia memutuskan untuk "mengambil langkah berhati-hati" dan membatalkan acara itu, sambil menambah ia mengalu-alukan kehadiran pengunjung sekali lagi "sebaik sahaja situasi COVID-19 bertambah baik".

Mereka yang mempunyai tiket ke rumah terbuka pada 13 Mei boleh menggunakan tiket itu untuk ke acara rumah terbuka seterusnya.

- CNA/HA/ha

Top