Images
  • istana (1)
    Bangunan utama Istana. (Gambar: Laman The Istana)

Rumah terbuka Istana diadakan 28 Ogos setelah ditangguh sebelum ini

SINGAPURA: Rumah terbuka Istana akan dianjurkan pada 28 Ogos.

Demikian diumumkan oleh Pejabat Presiden hari ini (19 Ogos).

Rumah terbuka sempena Hari Kebangsaan itu, pada awalnya dijadualkan pada 1 Ogos tetapi ditangguhkan setelah Singapura kembali ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) pada 22 Julai.

Hanya pengunjung yang sudah diberi tiket akan diterima masuk.

Hanya taman di ruang terbuka akan dibuka kepada pengunjung pada 28 Ogos nanti.

"Tiada akses ke bangunan dan tempat tertutup lain," menurut Pejabat Presiden dalam satu kenyataan media.

Tiada persembahan, lawatan berpandu, gerai atau trak makanan di pekarangan Istana untuk mengelak orang ramai berhimpun dalam kumpulan-kumpulan besar.

Pihak Istana juga akan melaksanakan langkah-langkah tambahan pengurusan selamat selain yang dilakukan di taman-taman awam. Pemegang tiket perlu patuh kepada slot masa yang sudah diberikan dan pelitup mesti sentiasa dipakai.

"Kegiatan yang memerlukan pelitup dibuka, seperti bersenam atau makan dan minum, tidak akan dibenarkan," tambah Pejabat Presiden.

Istana lazimnya dibuka kepada orang ramai lima hari setahun. Namun ekoran pandemik COVID-19, pekarangan itu tidak dibuka kepada umum sejak Februari tahun lalu.

- CNA/TQ/tq

Top