Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rumah Kebajikan Muhammadiyah agih jumlah biasiswa terbesar bagi bekas penghuni tahun ini

Meninggalkan bangku sekolah ketika di Menengah 2 pada 2015 gara-gara pergaulan kurang sihat rakan-rakannya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Meninggalkan bangku sekolah ketika di Menengah 2 pada 2015 gara-gara pergaulan kurang sihat rakan-rakannya.

Namun, tiga tahun kemudian, Khairayan Rifdi menggagahkan diri untuk membuka lembaran hidup baru demi masa depan lebih cerah. Beliau memutuskan untuk menduduki peperiksaan nasional peringkat GCE 'N' sebagai seorang calon privet.

Tanpa bimbingan guru sekolah dan dengan bantuan seorang tutor di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), Khairayan akhirnya berjaya mendapat tempat dalam Institut Pendidikan Teknikal, dalam jurusan Teknologi Automatik (Kenderaan Ringan).

Pada Jumaat (5 Apr) pula, Khairayan menerima Anugerah Al-Fatih, iaitu satu biasiswa bagi bekas penghuni RKM untuk meneruskan pendidikan mereka ke peringkat posmenengah.

Beliau salah seorang daripada 15 bekas penghuni yang menerima biasiswa berkenaan di Majlis Hari Penghuni RKM tahun ini. RKM mengagihkan jumlah biasiswa Al-Fatih tertinggi tahun ini, sejak ia diperkenalkan pada 2013.

PENAJA PERNAH MISKIN SEBELUM INI

RKM dapat menyediakan lebih banyak biasiswa pada tahun ini berkat sumbangan sekumpulan sukarelawan. Suntikan dana S$10,000 bagi Anugerah Al-Fatih dihulurkan atas nama 'Virtuous Cycle Project'.

Salah seorang wakil penaja yang sempat ditemui BERITAmediacorp ialah Dr Lai Ah Eng. Ditanya mengapa beliau memilih untuk menabur bakti dengan RKM, Dr Lai berkata beliau dahulu pernah hidup dalam kemiskinan.

Beliau bagaimanapun mencapai kejayaan dan meraih kehidupan lebih baik selepas mendirikan rumahtangga.

"Pernah sekali, saya menghantar anak saya ke kelas renang di Kompleks Renang Katong. Sedang saya menunggu anak saya, saya terlihat kanak-kanak dalam RKM. Melihat anak saya yang sedang berenang, saya menyedari mereka kurang bernasib baik," cerita Dr Lai.

Sejak itu, timbul hasrat dalam hati untuk membantu kanak-kanak RKM. Dr Lai dan rakan-rakannya sudah lama melakukan kerja-kerja sukarela bersama RKM. Yang terkini pula, mereka membantu dalam bentuk penajaan biasiswa.

Sumbangan Dr Lai dengan relawan-relawan lain diiktiraf dalam Majlis Hari Penghuni.

PENGHUNI RKM TURUT TERIMA ANUGERAH

10 anugerah turut disampaikan kepada para penghuni RKM, termasuk Anugerah Penghuni Paling Cemerlang yang jatuh ke tangan Arif (bukan nama sebenar).

Arif dihantar ke RKM pada 2016 kerana beliau memerlukan asuhan dan bimbingan memandangkan beliau dilahirkan dalam keluarga agak besar.

Hanya selepas dihantar ke RKM, Arif menyedari beliau berminat dalam pertukangan dan memperbaiki peralatan-peralatan elektrik.

Arif menerima anugerah itu atas maklum balas para pegawai RKM. Sepanjang tiga tahun beliau di RKM, Arif menjadi peran contoh kepada para penghuni lain.

Tidak terhenti di situ, Arif ingin meningkatkan kemahirannya dan bakal menduduki ujian WorkPlace Literacy and Numeracy agar peluangnya untuk mendapat pekerjaan lebih cerah pada masa hadapan.

RKM PERLU BANTUAN MASYARAKAT BANTU BEKAS PENGHUNI LANJUT PENDIDIKAN

Dalam pada itu, anggota Jawatankuasa Pengurusan RKM Dr Sharifah Mariam Aljunied berkata bahawa badan kebajikan itu gembira kian ramai penghuninya bersemangat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat posmenengah.

"10 penerima (Anugerah Al-Fatih) kali ini, merupakan penerima kali pertama. Tiga lagi merupakan penerima kali kedua. Yang lain sudah menerima biasiswa buat kali ketiga. Ini sangat memberangsangkan kerana ini menunjukkan bahawa kanak-kanak ini sudah berjaya dan meneruskan ke tahap lebih tinggi," kata Dr Sharifah.

Beliau menambah, dengan kian ramai penghuninya mencapai kemajuan dalam bidang akademik, RKM memerlukan "bantuan masyarakat".

"Kami menjangkakan bilangan kanak-kanak RKM yang meneruskan pendidikan posmenengah mereka dan memerlukan bantuan akan meningkat, tidak akan berkurang, InsyaAllah."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan