Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rumah kampung Melayu berusia 130 tahun di Pulau Ubin ini terima bantuan baik pulih dari NParks

SINGAPURA: Sebuah rumah kampung Melayu jenis panggung yang berusia sekitar 130 tahun, merupakan antara tujuh rumah kampung di Pulau Ubin yang menerima bantuan untuk diperbaiki dan dipulihara oleh Lembaga Taman Negara (NParks).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah rumah kampung Melayu jenis panggung yang berusia sekitar 130 tahun, merupakan antara tujuh rumah kampung di Pulau Ubin yang menerima bantuan untuk diperbaiki dan dipulihara oleh Lembaga Taman Negara (NParks).

Bantuan tersebut bermakna, rumah kampung Ubin yang ikonik itu - yang boleh dianggap sebagai rumah kampung asli terakhir di Singapura - mungkin mempunyai hayat lebih lama untuk bertakat.

Pakar bidang warisan dan pensyarah jurusan seni bina dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Imran Tajudeen menyifatkan langkah NParks itu sebagai "sangat bererti" demi memulihara warisan rumah kampung di Singapura.

"Langkah NParks untuk melakukan pemuliharaan terhadap bangunan-bangunan kayu rumah-rumah panggung dan kampung di Pulau Ubin sangat bererti.

"Kerana inilah julung-julung kalinya nilai kawasan luar bandar diiktiraf secara rasmi dan pengiktirafan ini juga dilanjutkan dengan langkah pemuliharaan bangunan kayu," kata Penolong Profesor NUS itu kepada BERITAmediacorp.

Seni bina rumah Melayu seperti rumah kampung tersebut termasuk kategori bangunan kayu.

KAYU REPUT, ATAP BOCOR ANTARA KEROSAKAN

Cuba anda bayangkan, rumah kampung Melayu dengan kayu yang reput dek hujan dan serangan anai-anai, atap zink yang bocor dan bunyi geselan pintu yang kuat ketika ditutup.

Inilah antara kerosakan membimbangkan yang dialami rumah kampung berusia hampir 130 tahun milik Cik Kamariah Abdullah, 60 tahun. Rumah jenis panggung itu terletak di 760D Kampung Sungai Durian di Pulau Ubin.

"Nampak ini, papan-papan yang sudah reput ini? Ini lagi teruk ini, tengok dah berlubang besar ini, kalau ada budak kecil, kakinya sudah boleh masuk," kongsi Cik Kamariah kepada kami semasa BERITAmediacorp mengunjungi rumah tersebut.

TERIMA BANTUAN BAGI RUMAH YANG 'AMAT BERMAKNA'

Cik Kamariah merupakan pemilik generasi kelima bagi rumah kampung itu. Menurutnya hampir 70 peratus rumah itu perlu dibaiki, termasuk bahagian dinding yang sudahpun diganti sendiri.

Lantaran itu, inisiatif NParks membantu membaiki semula rumah ini sejak dua minggu lalu sangat dialu-alukan keluarga Cik Kamariah demi meneruskan warisan rumah ini.

Bagi rumah panggung yang dikelilingi pokok-pokok besar ini, NParks sedang dalam proses membaiki siling, lantai, struktur tangki air dan menggantikan kerangka kuda-kuda bumbungnya.

"Saya dilahirkan di sini dan dibesarkan di sini, juga disekolahkan di sini sehingga Darjah 2 di Sekolah Melayu Pulau Ubin. Jadi rumah ini amat bermakna bagi saya juga bagi ahli keluarga saya dan saya rasa patut dipertahankan untuk generasi akan datang.

"Setelah NParks perbaiki rumah ini, saya rasa lega kerana kosnya memang terlalu tinggi," kongsi ibu empat anak itu.

Sememangnya, jika mahu dibaik pulih sendiri secara besar-besaran, ia akan memakan ribuan dolar atau puluhan ribu dolar. BERITAmediacorp pernah diberitahu oleh bapa Cik Kamariah sendiri bahawa selain harga kayu dan pengangkutannya menerusi jalan laut, harga pertukangan mahir juga sukar didapatkan dan perlu diambil dari luar negara. Semua itu tidak murah.

KEKALKAN RASA 'KEDESAAN', KEASLIAN REKA BENTUK RUMAH KAMPUNG

NParks tidak mendedahkan berapa kosnya bantuan baik pulih yang dihulurkannya ini. Namun yang penting, ia kini dalam proses memberi nafas baru kepada tujuh rumah kampung dan sebuah kedai kopi di Pulau Ubin.

Agensi pemerintah itu menjalankan projek tersebut selepas menyahut saranan-saranan kumpulan Friends of Ubin Network (FUN) yang turut dianggotai Dr Imran, supaya diperbaiki rumah-rumah kampung di sini demi pemuliharaan budaya dan warisan di Pulau Ubin.

Perancangan projek sudah bermula sejak lewat tahun lalu dan pembaikan rumah-rumah dijalankan secara bertahap-tahap sejak suku terakhir tahun ini.

Semasa diwawancara di pulau itu semalam (6 Dis) Timbalan Pengarah Pemuliharaan NParks (Pulau Ubin), Encik Thomas Lee berkata: "Dari situlah pemuliharaan rumah-rumah ini menjadi sesuatu yang kami dalami juga kerana untuk menurunkan dari generasi lebih tua kepada yang lebih muda, ia sebenarnya sebahagian daripada legasi dan bagi memastikan rumah itu selamat didiami.

"Ini selaras dengan apa yang ingin dicapai projek Ubin ini iaitu untuk mengekalkan rasa 'rustic' (kedesaan) bagi rakyat Singapura semasa berkunjung ke Pulau Ubin."

Encik Lee menambah bahawa semasa proses membaik pulih rumah kampung milik Cik Kamariah misalnya, reka bentuk aslinya dikekalkan. Tiada perubahan besar dilakukan.

NILAI KAWASAN LUAR BANDAR DIIKTIRAF BUAT KALI PERTAMA

Dr Imran menambah bahawa kesenian dan pertukangan yang terkandung dalam pembinaan rumah-rumah kampung adalah "ketrampilan yang sudah punah di Singapura".

Namun beliau menambah bahawa rumah-tumah Melayu di Pulau Ubin mewakili beberapa jenis rumah yang dahulu mungkin terdapat di pulau-pulau lain tapi sekarang sudah tidak ada lagi. "Jadi cuma tersisa di Pulau Ubin sahaja," tambahnya.

Lantaran itu Dr Imran menyifatkan langkah NParks menghulurkan bantuan pemuliharaan itu sebagai mempunyai impak penting terhadap pemekaran konsep yang dinamakan "landskap budaya".

Iaitu merujuk kepada aspek kebudayaan dan persekitaran sejarah Pulau Ubin, masyarakatnya, kampung-kampungnya serta rumah-rumah lama, yang seharusnya tidak dipisahkan daripada persekitaran hijaunya.

Rumah kampung Melayu di 760D Kampung Sungai Durian, Pulau Ubin.

"Jadi bagi Pulau Ubin, pemahaman yang lebih meluas sangatlah penting kerana Pulau Ubin mempunyai kepentingan bukan sahaja dari persekitaran hijau tetapi juga sebagai tempat yang mempunyai sejarah sosial atau masyarakat dari keseluruhan sejarah Singapura," kata beliau yang diwawancara BERITAmediacorp secara jarak jauh. Beliau kini berada di Pusat Oxford bagi Pengajian Islam di London.

Beliau berada di sana sebagai Felo Penyelidik dan sedang melakukan kajian dan penulisan bagi buku seni bina Islam di Nusantara/Asia Tenggara maritim, dari abad ke-15 hingga ke-18.

TERIMA KASIH KEPADA NPARKS, DR IMRAN...

Bagi Cik Kamariah, setelah rumah kampungnya itu selesai diperbaiki nanti, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada beliau sekeluarga, tetapi "semua" orang.

"Untuk mereka yang tidak mengenal kampung, mereka akan tahu bagaimana rumah kampung ini masih ada lagi di Singapura ini, khasnya di Pulau Ubin," ujar beliau.

Sememangnya keluarga Cik Kamariah rajin menjadi hos aktiviti-aktiviti memasak bahan kampung, kegiatan korporat berciri kedesaan dan memperkenalkan ciri rumah kampungnya kepada penduduk dari 'tanah besar Singapura' mahupun kepada pelancong.

Jelas, bagi Cik Kamariah dan keluarga, rumah kampung beliau berusia hampir 130 tahun itu sesuatu yang harus dikongsi.

"Insya Allah akan datang bila rumah ini siap, kita akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat.

"Saya berterima kasih kepada pihak NParks Pulau Ubin, tidak lupa juga kepada Dr Imran Tajudeen, juga para penuntutnya yang membuat kajian di rumah ini, juga kepada semua ahli keluarga yang bersusah-payah mempertahankan rumah ini," kata Cik Kamariah penuh harapan semasa di wawancara di pekarangan rumah panggung itu yang cukup indah dikelilingi kehijauan asli.

Cik Kamariah mungkin tidak menzahirkannya. Namun melihatkan kepada keadaan rumah itu, memang banyak lagi yang perlu digantikan dan dipulih.

Mungkin hanya semangat gotong-royong dan semangat kampung yang padu dari semua pihak - meliputi keluarga Cik Kamariah, pemerintah, pihak swasta, badan-badan masyarakat - yang dapat menyelamatkan rumah-rumah kampung terakhir Singapura itu untuk terus wujud 200 tahun lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan