Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ruang sementara dengan barisan katil dalam video tular adalah tempat pemeriksaan: TTSH

Satu ruang menunggu sementara di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) yang dipaparkan dalam rakaman video yang dikongsi di media sosial merupakan ruang tambahan bagi jabatan kecemasan hospital itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ruang sementara dengan barisan katil dalam video tular adalah tempat pemeriksaan: TTSH

Petikan skrin video.

Diterbitkan : 23 Sep 2021 08:30PM Dikemas Kini : 23 Sep 2021 08:31PM

SINGAPURA: Satu ruang menunggu sementara di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) yang dipaparkan dalam rakaman video yang dikongsi di media sosial merupakan ruang tambahan bagi jabatan kecemasan hospital itu.

"Disebabkan lonjakan dalam jumlah kes dalam masyarakat, kemudahan itu merupakan ruang tambahan bagi jabatan kecemasan kami untuk mewujudkan lebih banyak ruang pemeriksaan sebagai sebahagian daripada usaha COVID-19 yang dipertingkat," menurut hospital itu hari ini (23 Sep) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

Video itu yang dihantar kepada Mediacorp dan juga dikongsi secara meluas di media sosial, memaparkan barisan katil hospital dalam sebuah bangunan. Satu catatan Facebook yang mengandungi video itu dikongsi sebanyak 180 kali setakat petang tadi.

Dalam responsnya, TTSH merujuk Mediacorp kepada satu catatan Facebook yang dimuat naik pada Ahad lalu (19 Sep).

"Minggu lalu sukar sekali. Kami menerima jumlah kes lebih tinggi positif dan kes disyaki positif COVID-19 berbanding biasa, melalui ambulans dan kunjungan secara langsung ke jabatan kecemasan kami," menurut TTSH dalam catatannya.

"Selain daripada menangani kes-kes kecemasan, pasukan jabatan kecemasan kami juga menyaring kes-kes COVID-19 untuk memberikan rawatan terbaik - para pesakit kurang sihat dimasukkan ke Pusat Nasional Penyakit Berjangkit kami untuk mendapatkan rawatan manakala para pesakit yang disyaki dijangkiti COVID-19 dan mengalami simptom pula dimasukkan ke wad-wad yang sudah ditetapkan di TTSH."

Ia menambah bahawa pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menghantar pulang para pesakit "stabil" di bawah program pemulihan di rumah atau ke kemudahan jagaan masyarakat.

"Jika keadaan anda bukanlah satu kecemasan, sila dapatkan rawatan perubatan di klinik GP atau poliklinik berhampiran.

"Dengan lonjakan kes-kes dalam masyarakat, kami berusaha untuk membuka lebih banyak ruang menunggu dan pemeriksaan, dan mengaktifkan lebih banyak wad dan kakitangan bagi mempertingkatkan respons COVID-19 kami.

"Justeru mungkin berlaku kesulitan seperti masa menunggu lebih lama, temu janji klinik yang dijadual semula atau sekatan lawatan," menurut TTSH.

Singapura sedang mengharungi gelombang kes tempatan COVID-19, dengan kes harian pada 18 September mencecah angka 1,000 buat pertama kali sejak April tahun lalu.

Pada Rabu (22 Sep), ia melaporkan 1,453 kes tempatan COVID-19.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan