Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ruang lebih luas, lebih banyak tandas antara piawai dipertingkat bagi dormitori baru

Semua dormitori pekerja hijrahan yang baru perlu mematuhi piawai lebih ketat untuk "mengukuhkan daya tahan" terhadap pandemik yang mungkin berlaku pada masa akan datang dan "mempertingkatkan daya hidup" para penghuninya, umum Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (17 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Sep 2021 09:07PM Dikemas Kini : 17 Sep 2021 09:25PM

SINGAPURA: Semua dormitori pekerja hijrahan yang baru perlu mematuhi piawai lebih ketat untuk "mengukuhkan daya tahan" terhadap pandemik yang mungkin berlaku pada masa akan datang dan "mempertingkatkan daya hidup" para penghuninya, umum Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (17 Sep).

Piawai baru itu dibangunkan oleh MOM, Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Kesihatan (MOH) setelah berpuluh-puluh ribu pekerja hijrahan yang menetap di dormitori dijangkiti COVID-19.

Lebih 50,000 kes COVID-19 dicatatkan di dormitori sejak pandemik itu menular di sini.

Piawai baru itu termasuk kehidupan bermodul, bilik lebih luas, pengaliran udara yang lebih baik dalam bilik dan tandas serta pengesanan dan pengasingan lebih baik bagi penghuni yang kurang sihat.

BILIK LEBIH LUAS, PENGALIRAN UDARA LEBIH BAIK

Dormitori-dormitori baru akan bersifat modular, dengan bilik-bik dipasang dengan tandas. Setiap bilik juga lebih luas dengan ruang sekurang-kurangnya 4.2 meter persegi bagi setiap penghuni, berbanding 3.5 meter persegi sekarang. Setiap katil akan dijarakkan sekurang-kurangnya 1 meter.

Jumlah penghuni akan dihadkan kepada seramai 12 orang dan semua bilik akan disediakan dengan khidmat Wi-Fi. Sebelum ini tiada had ditetapkan pada jumlah penghuni dalam setiap bilik, meskipun sebahagian besar bilik "lazimnya" menampung antara 12 hingga 16 penghuni, menurut MOM.

Kemudahan-kemudahan yang dikongsi seperti kemudahan memasak, makan dan membasuh pakaian akan diasingkan dengan setiap bahagian dikongsi tidak lebih daripada 120 penghuni.

Selain itu, sekurang-kurangnya satu set tandas lengkap, bilik mandi dan sinki akan disediakan bagi setiap enam penghuni berbanding kemudahan serupa yang dikongsi setiap 15 penghuni sekarang.

Bilik tidur dan tandas dormitori akan dipasang dengan sistem pengaliran udara yang lebih baik dan setiap tandas akan dilengkapi dengan sekurang-kurangnya satu ekzos.

Kipas angin juga mesti disediakan "secukupnya" bagi memastikan pengaliran udara yang baik, tambah MOM.

Pemerintah juga akan mempertingkatkan usaha pengesanan awal dan pengasingan lebih pantas bagi penghuni yang sakit, dengan kapasiti dipertingkan di kemudahan pengasingan serta keperluan untuk menjalankan pemantauan ke atas air sisa.

Dormitori-dormitori baru akan dilengkapi dengan sekurang-kurangnya 10 katil pengasingan bagi setiap 1,000 ruang katil berbanding nisbah sedia ada iaitu satu katil pengasingan bagi setiap 1,000.

Lagi 15 katil pengasingan bagi setiap 1,000 ruang katil perlu ditambah semasa waktu-waktu pandemik, menurut MOM.

Sekurang-kurangnya satu soket elektrik bagi setiap ruang tidur dan jumlah soket elektrik mestilah disediakan "secukupnya" di ruang-ruang bersama. Buat masa ini, tiada keperluan bagi soket-soket elektrik.

Piawai baru itu akan diguna pakai di semua dormitori baru termasuk dormitori yang dibina khas, kilang yang ditukar menjadi dormitori dan tempat-tempat penginapan sementara yang diluluskan. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan