Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RSAF raih "nilai tidak terhingga" jalani latihan dengan angkatan udara India

Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) meraih "nilai yang tidak terhingga" menerusi latihan yang dijalani bersama Angkatan Udara India (IAF).

Anggaran Waktu Membaca:
RSAF raih "nilai tidak terhingga" jalani latihan dengan angkatan udara India

Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen di pangkalan latihan udara India. (Gambar: MINDEF)

Diterbitkan : 28 Nov 2017 10:29PM Dikemas Kini : 28 Nov 2017 10:33PM

SINGAPURA: Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) meraih "nilai yang tidak terhingga" menerusi latihan yang dijalani bersama Angkatan Udara India (IAF).

Demikian menurut Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen, setelah mengadakan lawatan ke latihan tentera bersama antara kedua-dua angkatan udara hari ini (28 Nov).

Sebagai sebahagian daripada lawatan beliau semasa latihan yang diadakan di Stesen Pangkalan Pasukan Udara Kalaikunda India, Dr Ng menyaksikan pesawat pejuang RSAF F-16 dan IAF Su-30 digunakan dalam latihan tersebut dan berinteraksi dengan para peserta, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan media.

Selepas lawatan itu, Dr Ng mengucapkan terima kasih kepada pemerintah India kerana menyediakan "peluang-peluang latihan realistik dan mencabar" bagi RSAF untuk "memperhalusi kesediaan operasinya", menurut MINDEF.

"Ia amat mengagumkan dan inilah sebabnya angkatan udara kami berlatih dengan angkatan udara anda (India)," kata Dr Ng.

"Para juruterbang anda hebat, pesawat anda juga bagus dan RSAF meraih nilai yang tidak terhingga daripada latihan yang dijalani di sini bersama dengan anda dan para juruterbang berpengalaman seperti anda.

"Kita sudah menjalani latihan udara dua hala sejak tahun 2004 dan saya berharap latihan-latihan dua hala ini akan terus berkekalan," kata Dr Ng.

Bagi latihan tentera bersama tahun ini RSAF mengerahkan enam buah pesawat pejuang F-16C/D untuk menjalani latihan dengan pesawat pejuang Su-30 IAF.

Latihan dua hala itu kini semakin mantap, melibatkan pesawat yang canggih dan misi latihan peringkat tinggi seperti latihan pertempuran udara yang berbeza dan latihan berdasarkan misi, menurut MINDEF.

Komendar detasmen RSAF, Leftenan Kolonel Tan Wuen Bin, berkata latihan itu menyediakan "peluang terbaik untuk berinteraksi dan berlatih di samping rakan-rakan sejawatan di India".

"Ia membolehkan kedua-dua pasukan mengendalikan latihan realistik dan memperdalam persefahaman dan hubungan."

Ketua Kawalan Udara Timur IAF, Marshal Udara Anil Khosla, berkata RSAF adalah "pasukan udara profesional dan rakan yang berharga buat IAF".

"Penting untuk RSAF dan IAF terus membangunkan operasi yang boleh saling bergantung antara satu sama lain dan memupuk persefahaman menerusi misi-misi latihan peringkat tinggi semasa latihan bersama," kata beliau.

Latihan itu secara kerap membuka peluang bagi RSAF untuk menjalani latihan dengan IAF dan ia adalah "bukti hubungan pertahanan kukuh dan yang sudah lama terjalin" antara Singapura dengan India, tambah MINDEF.

Ia dijalankan di bawah Perjanjian Dua Hala Angkatan Udara antara kedua-dua negara, yang diperbaharui pada bulan Januari tahun ini.

Selain latihan yang dijalani bersama, kedua-dua angkatan udara juga kerap berinteraksi menerusi lawatan dan pertukaran-pertukaran kekaryawanan lain.

Semasa di India, Dr Ng juga dijadual berucap di Pusat Institusi Brookings India berhubung hubungan Singapura-India.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan