Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RSAF kaji semula operasi pertahanan udara dengan perluasan penerbangan awam

Langkah-langkah sedang diambil bagi memastikan agar operasi pertahanan udara Singapura kekal relevan dan mengikut peredaran masa selaras dengan perluasan Lapangan Terbang Changi dan pertumbuhan trafik udara yang dijangka meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
RSAF kaji semula operasi pertahanan udara dengan perluasan penerbangan awam

Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How semasa lawatan ke Pangakalan Tentera Udara Changi. (Gambar: Vanessa Lim)

Diterbitkan : 14 Mar 2019 06:13PM Dikemas Kini : 14 Mar 2019 06:16PM

SINGAPURA: Langkah-langkah sedang diambil bagi memastikan agar operasi pertahanan udara Singapura kekal relevan dan mengikut peredaran masa selaras dengan perluasan Lapangan Terbang Changi dan pertumbuhan trafik udara yang dijangka meningkat.

Semasa latihan dwitahunan 'Vigilant Shield' hari ini (14 Mac), Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) menyatakan ia sedang mengkaji semula prosesnya bagi menimbangkan sama ada ia harus disesuaikan.

"Dalam semua latihan ini, kami akan meneliti sama ada terdapat sebarang perkembangan baru di pihak Penguasa Penerbangan Awam, supaya rancangan pertahanan udara kami boleh disesuaikan," kata LTC Zanna Lee, ketua perancang bagi Latihan Vigilant Shield tahun ini.

"Dengan perluasan Lapangan Terbang Changi, kami menjangkakan pertumbuhan trafik udara. Oleh itu, apabila kami menjalankan operasi kami, kami perlu memastikan keselamatan penerbangan-penerbangan awam lain turut diambil kira. Kami juga akan cuba memastikan ia tidak menjejas trafik di Changi," tambahnya.

Semasa berucap di akhir latihan itu, Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How berkata ancaman-acaman kini sudah berubah. Encik Heng menekankan bahawa Singapura akan kekal sebagai sasaran bagi serangan-serangan pengganas.

"Kaedahnya sudah berubah dan inilah yang membimbangkan kami tetapi pada masa sama, ia membuat kami terus berwaspada," katanya.

Beliau menambah bahawa satu pendekatan melibatkan seluruh pemerintah perlu bagi mengesan sebarang ancaman udara dan memberi respons dengan pantas.

Sebagai sebahagian daripada Latihan Vigilant Shield, satu senario perampasan diadakan di Pangkalan Udara Changi.

Dua jet pejuang RSAF F-16 C/D digunakan bagi memintas "sebuah pesawat yang mencurigakan".

Jet-jet pejuang itu kemudian mengiring pesawat berkenaan bagi memastikan ia dapat mendarat dengan selamat. Selepas pesawat itu mendarat, jet-jet pejuang berkenaan terus berlegar-legar di udara bagi menangani sebarang percubaan pesawat itu untuk berlepas.

Latihan tahun ini melibatkan para peserta RSAF, Pasukan Polis Singapura dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura.

Ia diselaraskan oleh Pasukan Petugas Pertahanan Udara Angkatan Bersenjata Singapura.

Latihan Vigilant Shield memaparkan keupayaan RSAF dalam memberi respons kepada ancaman udara dengan "sistem pertahanan awam kukuh yang terhubung 24 jam setiap hari," menurut kenyataan media Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Sejak serangan pada 11 September 2001, RSAF secara berterusan mengkaji semula prosedur pertahanan udaranya bagi memastikan ia berupaya menangani sebarang ancaman pengganasan.

Pada 2010, satu pasukan petugas yang beroperasi selama 24 jam ditubuhkan bagi menangani ancaman pengganasan.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan