Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rossnani Abdullah, Mohamad Sharil antara lebih 3,500 yang terima Anugerah Perkhidmatan Kesihatan hari ini

Institusi penjagaan kesihatan semakin perlu bekerjasama rentas disiplin dalam menyediakan khidmat bermutu yang mengutamakan para pesakit.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Institusi penjagaan kesihatan semakin perlu bekerjasama rentas disiplin dalam menyediakan khidmat bermutu yang mengutamakan para pesakit.

Demikian ditekankan Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, dalam majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti Singapura (SHQSA) hari ini (30 Jan).

Menurut Encik Gan kerjasama rentas disiplin penting dalam memenuhi keperluan pesakit yang pelbagai.

Ini lebih-lebih lagi sedang Singapura menghadapi penduduk menua, dengan seorang daripada setiap dua penduduk berusia 65 tahun berdepan risiko mengalami masalah kesihatan yang rumit.

Tambah beliau, khidmat yang mengutamakan pesakit merangkumi tiga peringkat - iaitu sistem, institusi dan kaki tangan pekerja.

Maka itu, para pekerja perlu "sentiasa pertingkatkan kemahiran" dan menunjukkan "empati dan prihatin terhadap pesakit".

ROSNANI ABDULLAH - BERBESAR HATI DAPAT DAMPINGI PESAKIT

Salah seorang yang mencontohi nilai tersebut adalah Cik Rossnani Abdullah.

Beliau merupakan antara enam penerima anugerah tertinggi 'Superstar' tahun ini.

Sebagai orang pertama yang menyambut pesakit di Pusat Barah Kebangsaan Singapura Cik Rossnani sedar pentingnya membuat pesakit lebih selesa dan terbuka untuk menerima rawatan.

Ini lebih-lebih lagi dengan ramai yang datang ke pusat barah dalam keadaan emosi tidak stabil.

"Satu hari itu, sedang saya bekerja, seorang wanita bertemu dengan saya dan berkata suaminya, seorang pesakit yang saya kenal, mencari saya. Selepas kerja saya pergi wad jumpa suaminya dan mendapati suaminya sedang dalam kesakitan," kongsi Cik Rossnani Abdullah, seorang eksekutif bersekutu kanan perhubungan pesakit, NCSS.

"Lepas berjumpa dengan saya, berbicara dengan saya, dia pun tidur. Esoknya saya dapat tahu, dia pun sudah meninggalkan kita. Itu saat yang saya tidak dapat lupa kerana kita sama-sama dapat bersamanya hingga ke hari penghabisannya," tambah beliau.

MOHAMAD SHARIL PERKENALKAN IDEA 'TERAPI KUCING'

Encik Mohamad Sharil Abdul Rahim pula diiktiraf atas daya inisiatifnya memperkenalkan terapi kucing di Hospital Thye Hua Kwan Ang Mo Kio, sesuatu yang tidak pernah dilakukan di Singapura pada ketika itu.

Idea tersebut ternyata membawa kesan positif kepada pesakit sejak hari pertama.

"Saya ada satu pesakit, dia suka nangis. Jadi pada sesi pertama, dia datang ke sesi terapi kucing, dia gembira sangat. Tidak ternilai, kegembiraannya.Daripada dia muram, tak nak pergi terapi, marah-marah, personaliti beliau berubah," kata Encik Sharil yang bekerja sebagai seorang pengurus sukarelawan di Hospital Thye Hua Kwan Ang.

Lebih 3,500 pekerja contoh dari 50 institusi khidmat penjagaan kesihatan menerima anugerah hari ini (30 Jan) atas pelbagai sumbangan mereka kepada kesejahteraan pesakit. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan