Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rosli Haron dan isteri antara sebilangan rakyat S'pura cari 'ketenangan luar rumah' dari COVID-19

Sejak COVID-19 mula menular di sini, kedua-dua Encik Rosli Haron, seorang pemandu bas pesiaran dan isterinya, yang bekerja di lapangan terbang kehilangan pekerjaan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Rosli Haron dan isteri antara sebilangan rakyat S'pura cari 'ketenangan luar rumah' dari COVID-19

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 04 Apr 2020 01:42PM Dikemas Kini : 04 Apr 2020 03:22PM

SINGAPURA: Sejak COVID-19 mula menular di sini, kedua-dua Encik Rosli Haron, seorang pemandu bas pesiaran dan isterinya, yang bekerja di lapangan terbang kehilangan pekerjaan mereka.

Sejak kebelakangan ini, pasangan itu dan tiga orang anak mereka meluangkan masa sehingga lima hari seminggu di East Coast Park untuk memancing dan berkelah.

Semasa diwawancara oleh Mediacorp pada petang Rabu (1 Apr), Encik Rosli, 57 tahun, mengatakan keluarganya kadangkala bermalam di sana kerana mereka tidak mahu terperuk dalam rumah tanpa sebarang kegiatan untuk dilakukan.

"Berada di taman ini dapat membantu saya mengalihkan fikiran daripada tekanan yang saya hadapi akibat kehilangan pekerjaan. Saya dapat meluangkan masa bersama keluarga, melakukan kegiatan bersama mereka dan saya gembira dapat bersama dengan orang-orang tersayang," katanya.

Encik Rosli dan keluarganya adalah antara sebilangan rakyat Singapura yang meluangkan masa di taman, pantai, kebun dan kawasan luar rumah yang lain di tengah-tengah penularan COVID-19.

Ada sesetengah daripada mereka, seperti Encik Rosli dan isterinya, cuba mencari ketenangan daripada persekitaran sedemikian sedang mereka dirundung kebimbangan ekoran pandemik itu, manakala ada juga yang mencari kegiatan alternatif setelah langkah jarak selamat yang dikuatkuasakan sejak beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan pusat-pusat hiburan ditutup. Pemerintah juga menggalak orang ramai supaya mengelakkan daripada mengunjungi pusat beli-belah.

Ramai juga memilih untuk meluangkan masa dalam suasana sedemikian.

Seorang pelajar yang ditemui Mediacorp, Mark Phua berkata beliau kini meluangkan lebih banyak masa di Taman East Coast. Sebelum penularan virus itu, beliau kerap meluangkan masa lapang di pusat beli-belah dan bermain permainan video bersama teman-temannya.

"Bapa saya tidak lagi membenarkannya saya pergi ke pusat beli-belah, oleh itu saya meluangkan lebih banyak masa bersamanya di sini pada sebelah petang," kata remaja berusia 18 tahun itu. "Hubungan kami bertambah baik berbanding sebelum penularan itu."

Dalam catatan di Instagram pada 28 Mac, Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata meskipun rakyat Singapura harus duduk di rumah sebanyak mungkin sepanjang tempoh ini, ia tidak bermakna mereka harus terperuk di rumah sepanjang masa.

Dalam kapsyen yang mengiringi gambar beliau di Kebun Bunga Singapura, Encik Wong berkata: "Pergi bersiar-siar dan hirup udara segar. Tetapi, amalkan langkah jarak selamat apabila anda berada di luar, dan elak bersentuhan dengan orang lain selain daripada anggota keluarga terdekat."

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan jumlah pengunjung ke taman, kebun dan hutan simpanan Singapura kekal stabil, kecuali Hutan Simpanan Bukit Timah, MacRitchie Treetop Walk di Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah, di mana jumlah pengunjung mencatat "sedikit peningkatan".

Bagi memastikan para pengunjung mematuhi langkah jarak selamat, NParks menyatakan ia mengerahkan kakitangannya ke taman, kebun dan hutan simpanan.

"Misalnya, di Hutan Simpanan Bukit Timah, para kakitangan di sana akan mengingatkan para pengunjung supaya mengekalkan jarak selamat satu meter antara satu sama lain semasa mendaki dan berada dalam kumpulan kurang daripada 10 orang," jelas NParks.

Di MacRitchie Tree Top Walk, jarak selamat ditandakan di pintu masuk jambatan dan kemasukan ke jambatan semasa waktu sibuk dikawal bagi menjaga jarak selamat, tambah NParks.

Padang-padang golf juga menjadi salah satu tempat riadah yang popular dalam kalangan rakyat Singapura.

Encik Annavi Chelliah, 61 tahun yang mengendalikan Singagolf Academy turut menyaksikan peningkatan pada jumlah tempahan padang golf sejak dua minggu lalu.

"Biasaanya para pemain golf di Singapura akan berkunjung ke Malaysia atau Batam untuk bermain golf kerana ia lebih murah tetapi dengan sekatan perjalanan sekarang, ramai tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa bermain di sini."

Encik Annavi juga mengatakan sebahagian besar daripada pelanggannya bekerja dari rumah baru-baru ini, oleh itu mereka mempunyai lebih banyak masa lapang untuk bermain golf.

"Ada juga yang bekerja dari padang golf ini," katanya.

Seperti taman-taman riadah, kelab-kelab bermain golf sedemikian juga melaksanakan langkah jarak selamat.

"Ada sebilangan langkah yang dilaksanakan termasuk membenarkan hanya seorang pemain golf bagi setiap bugi, hanya empat pemain golf bagi setiap sesi dan menggunakan padang golf yang berasingan," katanya.

Encik Mardan Mamat, pemain golf profesional Singapura memberitahu Mediacorp bahawa beliau menghadapi kesulitan mendapatkan slot untuk bermain di kelab-kelab golf meskipun beliau adalah seorang pemain golf profesional.

"Saya menghadapi kesukaran untuk berlatih buat masa ini kerana terlalu ramai orang membuat tempahan. Hasil pendapatan saya diperolehi menerusi kemenangan dalam kejohanan-kejohanan golf dan jika saya tidak dapat berlatih dengan betul, apabila kejohanan diadakan selepas virus ini dapat dihapuskan, ia akan menjadi sukar bagi saya." katanya.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan