Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rompakan StanChart: David Roach didakwa di S'pura

Hampir empat tahun setelah melarikan diri dari Singapura selepas didakwa merompak sebuah cawangan bank Standard Chartered, warga Kanada David James Roach dikenakan tuduhan melakukan kesalahan itu di mahkamah di sini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Mar 2020 10:38PM Dikemas Kini : 18 Mar 2020 12:07AM

SINGAPURA: Hampir empat tahun setelah melarikan diri dari Singapura selepas didakwa merompak sebuah cawangan bank Standard Chartered, warga Kanada David James Roach dikenakan tuduhan melakukan kesalahan itu di mahkamah di sini.

Tindakan Roach melarikan diri ke Thailand dan ekstradisinya mendapat tumpuan meluas media antarabangsa. Dia tidak diberi ikat jamin selepas hujah pihak pendakwaan mengenai isu itu.

Roach dikenakan satu tuduhan pada Selasa (17 Mac) kerana merompak pekerja StanChart sebanyak S$30,450 pada pagi 7 Jul 2016 di cawangan bank di Holland Avenue.

Dia dikenakan tuduhan kedua melarikan wang itu, yang merupakan hasil jenayah, keluar dari Singapura.

Pihak pendakwaan berkata ia sudah bersedia dan akan meneruskan kedua-dua pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Marcus Foo menggesa mahkamah supaya tidak memberikan Roach, yang masih tidak diwakili peguam, ikat jamin. Kesalahan dalam kes itu tidak boleh diikat jamin.

Dia menegaskan bahawa Roach telah melarikan diri pada 2016, "yang timbul daripada perancangan teliti yang bertujuan untuk mengelakkan diri dari tindakan pihak berkuasa".

"Apabila prosiding ekstradisi dimulakan, tertuduh terus berusaha untuk mengelakkan daripada menghadapi prosiding di sini," kata Encik Foo. "Terdapat risiko yang nyata dan sedia ada bahawa dia akan berusaha untukcuba mengelakkan prosiding mahkamah, jika ikat jamin diberikan."

Sebagai menjawab, Roach berkata: "Saya tidak meminta ikat jamin."

Hakim Daerah Terence Tay setuju bahwa ada risiko tinggi Roach melarikan diri disebabkan oleh rekod Roach sebelum ini, dan memutuskan untuk tidak memberi ikat jamin.

"SAYA ADA PISTOL DALAM BEG"

Pendakwaan dalam penghujahan memberikan ringkasan kesalahan yang dipercayai dilakukan dan rangkaian peristiwa.

Beliau menambah bahawa Roach memasuki Singapura pada 29 Jun 2016 menggunakan pas lawatan sosial, dan ini adalah kali pertamanya di Singapura. Dia tidak mempunyai kenalan atau keluarga yang tinggal di sini.

Dia telah pergi ke cawangan bank StanChart di Holland Avenue pada 7 Julai 2016, dan menyerahkan sekeping kertas kepada wanita di kaunter.

Ia mengandungi tulisan: "Ini adalah rompakan, saya ada pistol dalam beg saya."

Roach kemudian meletakkan tangannya ke dalam begnya untuk memberi gambaran bahawa dia memiliki senjata, kata pendakwa.

Wanita itu percaya bahawa Roach mempunyai pistol dan kerana takut akan keselamatan dirinya, wanita itu mengeluarkan wang yang diminta dan menyerahkannya.

Roach kemudian meninggalkan Singapura pada hari yang sama dan menaiki penerbangan ke Bangkok pada sekitar 2.40 petang.

Pada 10 Julai 2016, pihak berkuasa Thailand memaklumkan polis Singapura bahawa mereka telah menahan Roach, dan dia didakwa kerana membawa wang tunai bernilai lebihi AS$20,000 ke Thailand.

Dia dikenakan tuduhan lain di Thailand kerana membawa masuk mata wang Singapura serta menukarkan mata wang itu kepada baht Thailand.

Dia mengaku bersalah di Thailand dan dihukum penjara 14 bulan. Dia dibebaskan pada 10 Januari 2018 dan dihantar pulang ke Kanada sehari kemudian.

Roach ditahan semula ketika transit menerusi Britain setelah Pasukan Polis Singapura (SPF) mengemukakan permintaan bagi penangkapan.

Roach mencabar ekstradisi ke Singapura dan gagal dalam rayuannya yang dibuat beberapa kali sebelum diserahkan kepada SPF dan dibawa ke Singapura.

Roach, yang kini ditahan reman, akan kembali ke mahkamah melalui link video pada 7 Apr.

Sekiranya disabit kesalahan merompak, dia boleh dijatuhkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan sekurang-kurangnya enam kali sebatan rotan.

Sekiranya didapati bersalah memindahkan hasil jenayah keluar dari Singapura, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000, atau kedua-duanya

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan