Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RLAF sampaikan cek lebih $240,000 bantu mangsa tsunami Selat Sunda

Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menyampaikan cek bernilai $244,146 kepada badan kemanusiaan Singapura Mercy Relief bagi membantu mangsa bencana tsunami di Selat Sunda, Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menyampaikan cek bernilai $244,146 kepada badan kemanusiaan Singapura Mercy Relief bagi membantu mangsa bencana tsunami di Selat Sunda, Indonesia.

Jumlah tersebut berjaya dikumpulkan atas usaha bersama 70 masjid di serata Singapura dari 4 Jan hingga 10 Jan serta sumbangan $20,000 daripada Darul Arqam. Derma juga dibuat kepada RLAF menerusi online, wang tunai dan cek.

Majlis penyerahan cek diadakan di pejabat Mercy Relief dengan dihadiri para anggota Pengurusan Kanan MUIS dan ahli Lembaga Pemegang Amanah RLAF.

Menurut Pengarah Eksekutif RLAF, Encik Zainul Abidin Ibrahim:"Semoga suntikan dana ini dapat memberikan satu sinar harapan kepada mereka. Sekali gus kita juga mahu menggunakan peluang membantu masyarakat ini untuk memperkasa belia-belia kita dari Singapura untuk sama-sama membantu pihak Mercy Relief dalam menjalankan atau melaksanakan projek membina semula kehidupan mereka di sana nanti." 

Pasukan Mercy Relief sudah selesai menjalankan kerja-kerja bantuan kemanusiaan tahap pertama dengan mengagihkan air minuman, kit kebersihan, selimut dan tilam serta bungkusan makanan bagi bayi dan wanita hamil.

Operasi bantuan tersebut memanfaatkan hampir 2,000 penduduk.

"Tempat-tempat begini selalunya mudah terdedah kepada pelbagai penyakit dan penularan virus,"kata Encik Chairul Fahmy Hussaini, Anggota lembaga Mercy Relief.

"Jadi kami memastikan segala-gala ini dapat kami tampung menerusi keperluan yang kami berikan kepada mereka berdasarkan yang disenaraikan oleh badan-badan yang membantu kami di sana."

Dalam minggu-minggu akan datang, Mercy Relief akan menjalankan projek pemulihan termasuk menyediakan pendidikan mengenai Air, Sanitasi dan Kebersihan serta kegiatan pengurangan risiko bencana.

Para wakil RLAF akan turut menyertai Mercy Relief dalam melakukan lawatan ke kawasan terjejas bagi memantau usaha pemulihan di kawasan bencana.

Pada 22 Disember tahun lalu, ombak tsunami melanda Selat Sunda di wilayah Banten, Jawa Barat, dan Lampung Selatan, Sumatera, tanpa sebarang amaran.

Lebih 400 maut dalam bencana tersebut. Lagi 33,000 orang kehilangan tempat tinggal mereka dalam gelombang besar yang dicetuskan oleh letusan gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda.      

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan