Images

RLAF lancar tiga inisiatif baru bantu golongan susah tidak kira kaum, agama

SINGAPURA: Yayasan Rahmatan lil Alamin (RLAF) melancarkan tiga inisiatif baru bagi membantu golongan memerlukan tidak kira kaum dan agama.

Dalam masa yang sama, ia akan terus memberi tumpuan kepada usaha membangunkan keupayaan golongan relawan belia.

Daya usaha itu diumumkan di majlis makan malam RLAF malam ini (10 Jan) sempena ulang tahunnya yang ke-10 tahun ini.

Majlis di hotel Parkroyal itu bagi memberi penghargaan dan mengiktiraf sumbangan individu serta rakan kerja yang menyokong usaha-usaha tersebut.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat serta Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dan Mufti Dr Fatris Bakaram.

PANCARKAN BELAS KASIHAN DAN KEBAIKAN KEPADA YANG MISKIN DAN MANGSA BENCANA

Sejak tahun 2009, RLAF memainkan peranan penting dalam usaha membantu masyarakat memerlukan termasuk yang dilanda bencana alam.

Antara usahanya termasuk mengumpulkan $7.14 juta bagi menyokong pelbagai usaha bantuan kemanusiaan di negara-negara seperti Indonesia, India, Sri Lanka dan Nepal.


Sepanjang 10 tahun penubuhannya juga, ia menyediakan sokongan latihan dan geran bagi mengupaya lebih 2,000 relawan belia dan 80 projek masyarakat yang dipimpin belia.

Sempena ulang tahunnya, RLAF meluaskan lagi kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan dan inisiatif yang diterajui masyarakat bagi mendampingi lebih ramai anggota masyarakat memerlukan.

Projek-projek itu akan diterajui barisan relawan belianya bagi memberdayakan potensi golongan itu untuk terus membawa 'rahmat' kepada masyarakat Singapura dan luar negara.

Dalam salah satu inisiatif terbarunya, RLAF akan bekerjasama dengan Rumah Tumpangan Palang Merah bagi Golongan Kurang Upaya (RCHD).

Projek itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan membangunkan keupayaan 20 relawan RLAF dalam mendampingi golongan kurang upaya.

BAKAL KERJASAMA DENGAN NCSS

Sejajar dengan itu, RLAF juga akan bekerjasama dengan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan (NCSS) untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang persekitaran orang berkeperluan khas.

Selain itu, badan amal tersebut juga sedang meneroka cara membantu golongan ibu yang tinggal di rumah-rumah sewa.

30 relawan RLAF akan bekerjasama dengan badan keusahawanan sosial 6th Sense selama setahun untuk memperkasa golongan itu bersama anak mereka yang tinggal di flat sewa di Kebun Baru.

Mereka akan dibekalkan dengan program peningkatan diri dan manakala anak mereka mengikuti program pembelajaran.

PROGRAM SETAHUN UNTUK PELARIAN DI KL

Menjangkau penerima di luar Singapura pula, RLAF akan menjalankan program setahun untuk membantu kanak-kanak dari masyarakat pelarian di Kuala Lumpur. Usaha itu melibatkan kerjasama dengan Majulah Community dan Humanity Heroes.

"Saya rasa menjadi sukarelawan di bawah RLAF ini sangat membantu saya kerana saya diberi peluang untuk membantu banyak orang seperti warga tua, warga kurang upaya, ibu-ibu dan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

"Saya juga diberi peluang untuk menziarahi keluarga-keluarga yang dilanda bencana alam. Semua ini adalah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan," kata Nur Hendriyanti Hidayah Ahmad, salah seorang sukarelawan belia RLAF.

Sepanjang 10 tahun ini, RLAF sudah melatih dan mendampingi 2,065 relawan muda dan membantu 103,800 individu dan keluarga.

Penduduk di 20 negara lagi dibantu menerusi dana bantuan kemanusiaan RLAF.

Pengarah Eksekutif RLAF Zainal Abidin Ibrahim berkata: "Apabila Yayasan Rahmatan Lil Alamin ditubuhkan, niat sebenar ialah untuk menghidupkan nilai ihsan dalam diri anggota masyarakat Islam sedalam-dalamnya. Ini adalah penting kerana dengan kita memikirkan apa yang kita perlu buat untuk memperbaiki hidup kita dan juga masyarakat di sekeliling kita terutama sekali masyarakat yang terpinggir, lemah dan memerlukan. Kita sama-sama dapat menaikkan nilai kehidupan masyarakat dan negara seumumnya. Jadi, itu tujuan utamanya, supaya ia menjadi lumrah dalam hidup kita."

Beliau menambah dengan sokongan padu daripada masyarakat selama sedekad ini, RLAF sudah dapat menjalani banyak usaha kemanusiaan dan usaha memperbaiki nasib golongan yang ditimpa bencana.

"Kami agak jelas memang nilai ihsan ini bukan untuk golongan belia sahaja tetapi kita sedar bahawa golongan belia adalah kumpulan penggerak yang benar-benar dapat menyemarakkan nilai ini.

"Dengan itu, kita akan bekerjasama dan cuba menarik lebih ramai belia untuk meningkatkan ilmu mereka dalam ilmu kemanusiaan dan juga bekerjasama dengan pihak lain yang sealiran dengan kita supaya usaha kita tidak sahaja berlingkar di kalangan masyarakat Melayu/Islam," jelasnya. 

- BERITAmediacorp/im

Top